PARIT BUNTAR, 1 Okt – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU mendakwa skim subsidi petrol BUDI95 hanyalah langkah kosmetik kerajaan yang gagal menyelesaikan masalah rakyat, sebaliknya menjerat mereka dengan harga sebenar yang lebih tinggi selepas kuota subsidi 300 liter habis digunakan.
AMPT BERSATU merangkap Exco ARMADA, Halim Nayan, berkata pengumuman Kementerian Kewangan bahawa harga RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada kadar RM2.60 seliter selama sebulan mengesahkan kebimbangan bahawa dasar ini hanyalah “ilusi” untuk mencipta persepsi kononnya rakyat menikmati harga rendah RM1.99 seliter.
“RM1.99 dicanang sebagai kejayaan, tetapi hakikatnya ia hanya bertahan untuk 300 liter. Selepas kuota itu habis, rakyat akan dipaksa menanggung harga sebenar RM2.60 seliter. Sebelum dasar ini, harga RON95 adalah RM2.05, tetapi kini kerajaan menetapkan harga asas pada RM2.60 – kenaikan besar sebanyak RM0.55,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Halim, kesan dasar ini bukan sahaja membebankan pengguna kenderaan persendirian, tetapi juga bakal meningkatkan kos logistik, pengangkutan dan harga barangan asas di pasaran. Beliau memberi contoh peniaga kecil seperti Pak Cik Malik, yang bergantung kepada kereta persendirian untuk berniaga di pasar malam dan pasar pagi, kini berdepan tekanan tambahan apabila kuota subsidi berakhir.
Halim turut membidas pendekatan kerajaan yang disifatkan terlalu “universal” apabila golongan kaya turut menikmati subsidi sama dengan rakyat berpendapatan rendah. Malah, katanya, sehingga kini kerajaan belum mengumumkan sebarang alokasi tambahan untuk pemandu e-hailing dan kumpulan miskin yang berdepan masalah dokumentasi asas, menyebabkan mereka berisiko membayar harga penuh.
“Malaysia adalah negara pengeluar minyak. Sepatutnya hasil dan keuntungan minyak digunakan untuk menstabilkan harga dalam negara, bukan menekan rakyat dengan alasan harga minyak mentah dunia yang kononnya tinggi. Dasar ini jelas hanya gula-gula politik menjelang pilihan raya,” tegasnya.
Beliau menegaskan, rakyat berhak mendapat dasar subsidi yang adil, ikhlas dan konsisten, dengan fokus kepada mereka yang benar-benar memerlukan, bukannya skim yang indah di atas kertas tetapi menambah beban rakyat.
