26 JULAI ‘TURUN ANWAR’ – SIMBOL KEBERANIAN ANAK MUDA MALAYSIA – AENDRIE AZIZ

DATARAN MERDEKA, 31 Julai 2025 — Tarikh 26 Julai 2025 bakal terpahat sebagai simbol keberanian dan kesetiaan anak muda Malaysia, apabila ratusan ribu demonstran majoritinya anak muda yang berpartisipasi dalam Himpunan Selamatkan Malaysia : Turun Anwar. 

Disebalik kehadiran anak muda sebagai demonstran yang mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim turun, ada ratusan lagi anak muda yang berpartisipasi sebagai anggota Briged ARMADA Malaysia berperanan untuk memberi khidmat mengawal selia dan menjaga keselamatan dalam memastikan himpunan tersebut berjalan lancar. 

Komander Briged ARMADA Malaysia, Aendrie Aziz, dalam satu kenyataan menzahirkan penghargaan kepada seluruh anggota Briged ARMADA Malaysia yang hadir mengawal himpunan dengan penuh disiplin, keberanian dan semangat setiakawan.

“Anda semua hadir bukan sekadar sebagai petugas. Anda berdiri bukan sekadar mengawal. Anda semua adalah benteng perjuangan, nadi kekuatan anak muda yang membuktikan bahawa disiplin dan idealisme boleh berjalan seiring,” kata Aendrie.

Beliau turut menyifatkan kehadiran Briged ARMADA Malaysia sebagai isyarat jelas bahawa anak muda tidak akan berdiam diri dalam menghadapi penindasan, dan ARMADA BERSATU akan terus menjadi suara yang lantang menentang kezaliman.

Aendrie menegaskan bahawa kekuatan briged bukan diukur dari segi jumlah, tetapi dari semangat dan keberanian yang ditunjukkan oleh para anggotanya.

“Saya bangga dengan anda semua. Bukan kerana jumlah, tetapi kerana jiwa. Bukan kerana sorak, tetapi kerana setia dan berani menghadapi apa jua kemungkinan,” tambahnya lagi.

Beliau turut menggesa agar barisan anak muda terus menjadi contoh kepada seluruh rakyat Malaysia – sebagai generasi pelapis yang bersedia memimpin, melindungi dan berkorban demi negara serta prinsip kebenaran.

Akhir kenyataan tersebut disimpulkan dengan seruan semangat:

“Kita tidak gentar. Kita tidak goyah. Kita akan terus mara.

BERANI. TEGAS. SETIA.”

Aendrie Aziz kini memimpin Briged ARMADA Malaysia, unit keselamatan dalam sayap anak muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang sering terlibat dalam pelbagai mobilisasi akar umbi serta aktiviti advokasi politik di seluruh negara.