KOTA KINABALU, 1 Ogos 2025 — Srikandi Muda BERSATU hari ini menggesa pihak berkuasa untuk mempercepatkan siasatan dan mengambil tindakan tegas berhubung kematian tragis adik Zara Qairina, seorang pelajar yang dilaporkan meninggal dunia pada 16 Julai lalu dalam keadaan mencurigakan.
Dalam satu kenyataan media, Naib Ketua Srikandi Muda BERSATU Malaysia merangkap Ketua Srikandi Muda Negeri Sabah, Nabila Binti Norsahar menyifatkan insiden itu bukan sekadar tragedi peribadi, tetapi satu tamparan hebat terhadap sistem pendidikan dan perlindungan kanak-kanak negara.
“Kami telah mengikuti rapat perkembangan demi perkembangan berkaitan kematian anak kecil ini. Pemergian adik Zara bukan sekadar tragedi individu, tetapi satu tamparan terhadap sistem yang seharusnya melindungi anak-anak kita,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan ketelusan siasatan pihak berkuasa memandangkan hampir dua minggu telah berlalu sejak kejadian berlaku, namun masih tiada tangkapan atau tindakan konkrit diumumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kami melihat kenyataan demi kenyataan telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan dan Pesuruhjaya Polis Sabah yang meminta orang awam untuk bertenang serta memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus. Namun begitu, sehingga kini, rakyat masih menanti tindakan yang nyata,” tambah beliau.
Srikandi Muda BERSATU turut menuntut agar siasatan dijalankan secara terbuka dan menyeluruh tanpa melindungi mana-mana individu atau institusi. Mereka menegaskan bahawa semua pihak di sekolah termasuk guru, warden, pengetua serta pengurusan asrama wajib memberikan kerjasama sepenuhnya.
