PERJANJIAN TIMBAL BALIK MALAYSIA US SARAT AGENDA PENJAJAHAN – MUHYIDDIN KHUATIR MALAYSIA JADI PROKSI AMERIKA

PAGOH, 1 November 2025 – Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, menyuarakan kebimbangan serius terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–Amerika Syarikat (ART 2025) yang dimeterai baru-baru ini, dengan mendakwa ia mengandungi unsur penjajahan ekonomi baharu yang boleh menjejaskan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Dalam kenyataan media semalam, Muhyiddin menegaskan bahawa perjanjian yang diumumkan oleh White House pada 26 Oktober lalu itu bersifat tidak seimbang dan berat sebelah, dengan pelbagai peruntukan yang berpotensi “mengikat” dasar Malaysia kepada kepentingan Amerika Syarikat (AS).

“Perjanjian ini bukan sekadar tidak adil, malah berbahaya. Ia memuatkan pelbagai jerangkap samar yang boleh menyebabkan Malaysia kehilangan autonomi dalam membuat keputusan dasar sendiri,” katanya.

Antara peruntukan yang dibangkitkan Muhyiddin termasuk:

Artikel 3.4 yang melarang Malaysia menetapkan syarat pemindahan teknologi dan mewajibkan penerimaan piawaian AS dalam sektor farmaseutikal, makanan dan media;

Artikel 5.1 dan 5.2 yang memaksa Malaysia mengikut langkah sekatan atau kawalan eksport AS terhadap negara ketiga;

Artikel 5.3 (Annex III) yang memberi akses langsung kepada AS terhadap data kastam Malaysia;

Artikel 6.1.3 (Annex IV) yang menuntut Malaysia melabur sebanyak US$70 bilion di AS dan membuat pembelian bernilai US$150 bilion dalam tempoh lima tahun; serta

Artikel 6.2 (Annex III) yang melarang Malaysia mengenakan sekatan eksport ke atas sumber strategik seperti nadir bumi (REE).

Muhyiddin mendakwa, semua peruntukan ini akan menghakis kedaulatan ekonomi dan politik Malaysia, menjadikan negara ini “berstatus proksi atau satelit kepada AS di Asia Tenggara.”

Beliau turut menegaskan bahawa komitmen kewangan besar yang dituntut daripada Malaysia di bawah perjanjian itu akan menyebabkan pengaliran keluar modal secara besar-besaran dan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

“Ini adalah bentuk pemindahan kekayaan yang berat sebelah, dan satu penghapusan terhadap autonomi dasar Malaysia yang berdaulat dan merdeka,” tegasnya.

Sehubungan itu, Muhyiddin mendesak Kerajaan Malaysia segera mengkaji semula perjanjian ART 2025 sebelum tamat tempoh moratoriumnya dalam tempoh enam bulan akan datang.