KEUNTUNGAN TNB 2024 LEBIH RM4.6 BILLION; HILMAN IDHAM PERSOAL RASIONAL NAIKKAN TARIF ELEKTRIK

PETALING JAYA, 23 Jun 2025 — Ketua Armada BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham, hari ini mengkritik keputusan kerajaan Madani yang didakwa akan meneruskan pelarasan tarif elektrik bermula 1 Julai 2025, meskipun Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan keuntungan yang tinggi pada tahun lalu.

Dalam satu hantaran video media sosial, beliau mempersoalkan rasional di sebalik keputusan tersebut memandangkan TNB dilaporkan meraih keuntungan lebih RM4.6 bilion pada tahun 2024 — peningkatan sebanyak 70 peratus berbanding tahun sebelumnya dan mencatatkan keuntungan paras tertinggi sejak 2018.

“Saya ingin bertanya, bukankah pada 2024 TNB telah mencatatkan keuntungan lebih RM4.6 bilion, yang mana keuntungan ini dicatatkan 70 peratus lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya? Dan keuntungan TNB pada tahun lepas merupakan paras yang tertinggi sejak 2018,” tegas beliau.

YB Hilman Idham turut menuntut penjelasan mengapa kerajaan Madani masih berhasrat menaikkan tarif elektrik di sebalik keuntungan tersebut, serta mempersoalkan pendirian parti-parti kerajaan termasuk DAP berhubung isu ini.

“Kita semua nak tahu, betul ke hari ini Lim Guan Eng ataupun DAP sendiri juga tidak bersetuju dengan kenaikan harga elektrik?” tambah beliau lagi.

Pendirian ARMADA BERSATU Malaysia hari ini adalah mendesak kerajaan menangguhkan keputusan tersebut demi kepentingan rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.