Kuala Lumpur, 23 Jun 2025 — Perikatan Nasional (PN) mengutuk keras tindakan Israel yang disifatkan sebagai pengganas apabila didakwa melakukan genosid terhadap rakyat Palestin sebelum menyerang Iran. Ketegangan di Asia Barat semakin memuncak apabila Amerika Syarikat turut melancarkan serangan ke atas beberapa lokasi strategik di Iran malam tadi.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin, dalam satu Kenyataan Media Ketua Pembangkang yang dikeluarkan semalam berkata, tindakan ketenteraan unilateral oleh mana-mana kuasa besar dunia, termasuk Amerika Syarikat, bukan sahaja melanggar prinsip undang-undang antarabangsa tetapi juga mendorong rantau Asia Barat ke arah konflik berskala besar yang mengancam keselamatan jutaan nyawa awam yang tidak berdosa.
Beliau turut menyifatkan serangan terbaharu itu sebagai sebahagian daripada agenda geopolitik Amerika Syarikat yang terus berpihak secara membuta tuli kepada Israel, walaupun dunia antarabangsa menyaksikan pencabulan hak asasi manusia oleh rejim Zionis di Palestin.
“Perikatan Nasional mengutuk dengan sekeras-kerasnya serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran. Dalam situasi sekarang, Iran mempunyai sepenuhnya hak untuk bertindak balas dan mempertahankan diri daripada sebarang bentuk keganasan,” katanya.
PN turut mendesak kerajaan Malaysia agar bersikap lebih tegas dan lantang dalam menyatakan pendirian, termasuk mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersidang segera untuk menghentikan tindakan agresif kedua-dua negara tersebut serta menegakkan undang-undang antarabangsa.
Selain itu, Malaysia disaran bekerjasama dengan negara-negara yang berkongsi pendirian sama bagi menangani krisis ini secara adil dan saksama.
