Seberang Jaya, 22 Jun 2025 — Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, ARMADA BERSATU, menyifatkan pendedahan yang dibuat oleh bekas Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Rafizi Ramli dalam podcast Yang Berhenti Menteri sebagai bukti nyata bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak layak menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Menurut Pengarah Jabatan Pilihan Raya dan Pendemokrasian ARMADA, YB Izhar Shah Datuk Arif Shah, kenyataan Rafizi yang disiarkan pada 20 Jun lalu telah menimbulkan kebimbangan serius mengenai integriti dan profesionalisme pimpinan PKR dalam kerajaan.
Antara yang menjadi perhatian ARMADA adalah dakwaan bahawa Perdana Menteri yang juga Presiden KEADILAN telah hilang keyakinan terhadap Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Ekonomi, sehingga memberi restu kepada anaknya, Nurul Izzah, untuk mencabar jawatan tersebut. ARMADA menyifatkan tindakan itu sebagai bukti berleluasanya amalan nepotisme dalam PKR, yang secara langsung atau tidak langsung mencemari pentadbiran negara.
Lebih mengejutkan, Rafizi turut mengkritik prestasi Menteri Pendidikan yang didakwa gagal membawa sebarang dasar penting dalam tempoh dua tahun setengah pentadbiran. ARMADA mempersoalkan tahap kecekapan Menteri berkenaan dan menggesa supaya beliau dilucutkan jawatan jika dakwaan tersebut benar.
“Akibat pemilihan parti, dua menteri telah melepaskan portfolio mereka. Kini, wujud pula unsur hilang kepercayaan antara Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi. Situasi ini mencerminkan bahawa PKR bukan sahaja tidak profesional, malah gagal mengasingkan masalah dalaman parti daripada tanggungjawab mentadbir kerajaan,” kata Izhar Shah dalam satu kenyataan.
ARMADA menegaskan bahawa PKR lebih sesuai berperanan sebagai pembangkang dan bukan mentadbir negara, kerana kegagalan mereka menangani krisis dalaman secara berhemah telah menjejaskan kelangsungan pentadbiran kerajaan.
