SHAH ALAM, 21 JUN 2025 — Banjir kilat sekali lagi melumpuhkan beberapa kawasan utama di Selangor termasuk Bukit Kemuning, Sri Muda dan Jalan Kebun pada pagi ini susulan hujan lebat yang berterusan sejak awal pagi.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Ketua Armada Bersatu Shah Alam, Nafis Kamal, melahirkan kebimbangan dan kekecewaan rakyat terhadap masalah banjir yang berulang saban tahun tanpa penyelesaian tuntas.
“Sampai bila rakyat perlu reda dengan situasi yang berulang tanpa penyelesaian tuntas?” soal beliau sambil mendesak tindakan segera daripada pihak berkuasa.
Beliau menggariskan tiga tuntutan utama:
1. Pelaksanaan segera pelan mitigasi banjir, bukan sekadar pengumuman musiman.
2. Audit terbuka bagi menilai keberkesanan projek tebatan banjir yang telah menelan belanja jutaan ringgit.
3. Pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak lebih proaktif dalam kerja-kerja penyelenggaraan longkang, parit dan sistem saliran, bukan hanya bertindak selepas tragedi berlaku.
Nafis turut memberi amaran agar banjir tidak dijadikan ‘budaya’ tahunan yang dianggap normal oleh rakyat, sedangkan ia sebenarnya mencerminkan kegagalan tadbir urus yang berlarutan.
Kenyataan beliau dijangka akan menghangatkan lagi perbahasan mengenai keupayaan pentadbiran kerajaan negeri dalam menangani isu banjir di negeri yang pesat membangun itu.
