BIMBANG CADANGAN NAIKKAN UMUR PERSARAAN JEJAS PELUANG PEKERJAAN ANAK MUDA – HALIM NAYAN

PARIT BUNTAR, 27 Ogos – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, Halim Nayan menegaskan cadangan menaikkan umur persaraan wajib sehingga 65 tahun sebagaimana disebut dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) wajar diteliti secara mendalam dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.

Menurut beliau, negara ketika ini masih berdepan dengan masalah pengangguran belia yang kritikal, khususnya dalam kalangan lepasan universiti dan TVET yang masih belum memperoleh pekerjaan tetap. Malah, ada yang terpaksa bekerja di luar bidang pengajian kerana kekurangan peluang kerja.

“Sekiranya umur persaraan dilanjutkan, ia berisiko menutup lebih banyak ruang pekerjaan yang sepatutnya terbuka kepada generasi muda serta membantutkan mobiliti dalam pasaran kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Halim turut menekankan bahawa beban kerja kepada golongan berusia 60 tahun ke atas juga tidak boleh dipandang ringan. Faktor kesihatan, kemampuan fizikal serta kesejahteraan mental perlu diberi pertimbangan sebelum sebarang keputusan dibuat. Katanya, selepas berkhidmat puluhan tahun, golongan tersebut juga berhak menikmati masa bersama keluarga tanpa tekanan tambahan di tempat kerja.

Beliau menambah, walaupun cadangan ini masih di peringkat kajian yang hanya akan dilaksanakan selepas bermulanya RMK-13, kerajaan perlu menimbang kesannya terhadap peluang pekerjaan anak muda, produktiviti organisasi, kesiapsiagaan fiskal negara serta keadilan antara generasi.

“Keutamaan mendesak ketika ini ialah mengurangkan pengangguran belia melalui penciptaan peluang kerja baharu berasaskan pelaburan berkualiti, teknologi, ekonomi hijau, latihan kemahiran serta keusahawanan anak muda. Insentif kepada majikan untuk mengambil pekerja muda juga wajar dipertingkatkan,” jelasnya.

Halim menegaskan, pembangunan tenaga kerja negara mesti seimbang dengan menghargai sumbangan pekerja berusia, namun ruang untuk anak muda membina masa depan tidak boleh diketepikan. “Yang mustahak hari ini bukan menaikkan umur persaraan, tetapi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk generasi muda yang akan menjadi tonggak kemajuan negara,” katanya.