ADUN SEBERANG JAYA KESAL KANAK-KANAK CEDERA AKIBAT FASILITI TIDAK DISELENGGARA

Seberang Jaya, 27 Ogos – Ketua ARMADA BERSATU Pulau Pinang merangkap ADUN Seberang Jaya, YB Izhar Shah, melahirkan rasa kecewa susulan kemalangan yang menimpa seorang kanak-kanak berusia 12 tahun di Taman Tuna Skate Plaza, atau lebih dikenali penduduk tempatan sebagai Trek 8.

Mangsa, adik Nafiz mengalami kecederaan patah tangan kanan selepas terjatuh dari ‘obstacle course’ akibat ‘railing’ atau penghadang yang rosak dan tidak dibaiki sejak sekian lama. Menurut Izhar, walaupun mangsa lengkap memakai peralatan keselamatan, kecederaan itu tetap berlaku disebabkan fasiliti yang tidak selamat.

“Malam semalam saya sendiri menziarahi Nafiz dan keluarganya di Hospital Seberang Jaya. Beliau seorang atlet muda sukan ekstrem yang berbakat besar, malah berpotensi mewakili negeri. Namun insiden ini berlaku kerana kelalaian pihak bertanggungjawab dalam menyelenggara fasiliti awam,” katanya.

Izhar menjelaskan, isu kerosakan fasiliti di Taman Tuna Skate Plaza telah beberapa kali dibangkitkan beliau dalam Sidang DUN dan juga Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD), namun tiada tindakan segera diambil. Beliau turut menghubungi Dato’ Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi memastikan kerja pembaikan dilakukan segera.

Beliau menambah, sekiranya peruntukan ADUN pembangkang setara dengan ADUN kerajaan, usaha membaiki fasiliti ini sudah lama dilaksanakan. “Saya akan terus bersuara dan memperjuangkan isu keselamatan rakyat, khususnya buat keluarga besar Seberang Jaya. Fasiliti ini dibina dengan tujuan baik, hasil usaha YB Dr. Afif Bahardin bersama legenda papan selaju negara Pa’din Musa, namun kini terpinggir kerana tiada penyelenggaraan berkala,” ujarnya.

Izhar Shah menegaskan, keselamatan anak muda tidak boleh dikompromi dan menyeru pihak berwajib untuk segera bertindak agar tragedi sama tidak berulang.