BUDI95 TIDAK SELESAI MASALAH PESAWAH: ADUN KOTA SIPUTEH CADANG KAD PETROL PESAWAH

KOTA SIPUTEH, 23 Sept — Dasar subsidi bersasar BUDI95 yang diperkenalkan kerajaan dikritik kerana dikatakan gagal menyentuh realiti kehidupan pesawah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, YB Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir menegaskan, inisiatif itu hanya menumpukan kepada pemilik kenderaan, tanpa mempertimbangkan penggunaan petrol dan diesel dalam kerja sawah serta pertanian.

Menurut ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU itu juga, pesawah menggunakan petrol bagi pelbagai peralatan penting seperti pam air, mesin tabur benih, mesin rumput, pam baja dan pam racun, yang menjadi nadi kelangsungan kerja bendang. Namun, BUDI95 langsung tidak mengambil kira keperluan ini. “Hakikatnya, pesawah masih menanggung kos input pertanian yang semakin meningkat, sedangkan keuntungan terus menipis,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pesawah sebelum ini telah terbeban akibat penarikan subsidi pukal diesel, yang mengakibatkan kos perkhidmatan mesin padi, bajak, menuai dan logistik melonjak. Situasi itu, jelasnya, akhirnya memberi kesan kepada harga beras dalam pasaran.

Sehubungan itu, Mohd Ashraf mencadangkan kerajaan mewujudkan Kad Petrol Pesawah, sama seperti kad subsidi minyak khas untuk nelayan. Kad ini, menurutnya, boleh dikeluarkan dan dipantau melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi memastikan hanya pesawah berdaftar yang layak menikmatinya. Beliau juga mengusulkan mekanisme khusus untuk subsidi diesel bagi penyedia perkhidmatan pertanian termasuk pengusaha mesin padi, traktor, jentolak, lori padi dan jengkaut.

“Reformasi subsidi perlu adil dan holistik. Pesawah adalah barisan hadapan dalam menjamin keselamatan makanan negara, maka mereka wajar diberi perlindungan. Tanpa keadilan kepada pesawah, kedaulatan makanan negara akan terus terancam,” tegas beliau yang juga Koordinator Gerakan Melawan Penindasan Petani (GEMPITA).