“HIMPUNAN TURUN ANWAR”, JANGAN PANDANG RENDAH DESAKAN RAKYAT – HALIM NAYAN

29 Julai 2025, Parit Buntar — Dataran Merdeka kembali mencatat sejarah Sabtu lalu apabila ratusan ribu rakyat berhimpun dalam satu perhimpunan yang dinamakan “Turun Anwar”, sebagai isyarat jelas penolakan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Perhimpunan yang berlangsung secara aman itu menyaksikan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat — daripada mahasiswa, anak muda, pekerja sektor awam dan swasta, pesara, hinggalah kepada bekas pemimpin negara — membanjiri dataran bersejarah itu sebagai tanda solidariti rakyat yang mendambakan perubahan.

Menurut penganjur, himpunan ini bukan sekadar manifestasi kemarahan terhadap kelemahan pentadbiran semasa, tetapi merupakan permulaan kepada gelombang kebangkitan rakyat yang lebih besar. Mereka menegaskan bahawa para peserta hadir tanpa sebarang paksaan atau habuan, tetapi atas dasar tanggungjawab moral serta semangat kecintaan yang mendalam terhadap tanah air.

Perhimpunan itu turut mendapat perhatian meluas, bukan sahaja daripada media tempatan, malah turut dilaporkan oleh beberapa agensi berita antarabangsa. Pemerhati politik menyifatkan perkembangan ini sebagai tamparan hebat kepada Anwar Ibrahim yang sedang bergelut mempertahankan imejnya di peringkat antarabangsa, meskipun berdepan tekanan domestik berikutan isu-isu tadbir urus dan kos sara hidup.

“Dataran Merdeka menjadi saksi kepada kebangkitan suara rakyat yang sudah muak dengan kegagalan Anwar Ibrahim dalam mentadbir dan mengurus negara. Rakyat sudah tidak tahan dengan retorik, pembohongan, sandiwara politik, dan sikap angkuh segelintir pemimpin yang lupa bahawa kuasa itu datangnya daripada rakyat”, kata Halim Nayan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU dalam kenyataan medianya.