JASIN, 28 Feb — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Melaka menunjukkan perkembangan positif apabila beberapa cawangan penaja baharu berjaya ditubuhkan dan pendaftaran keahlian baru diterima dalam satu program Majlis Berbuka Puasa di bawah penganjuran Ketua ARMADA BERSATU Negeri Melaka Saudara Jefry Safri, sekali gus memberi isyarat kepada usaha memperkukuh semula organisasi parti di peringkat akar umbi semakin berjaya.
Program yang menghimpunkan ketua-ketua cawangan, pengasas awal parti serta ahli-ahli setia BERSATU Melaka khususnya Bahagian Jasin itu menyaksikan borang permohonan rasmi penubuhan cawangan baharu diserahkan kepada Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham untuk tindakan lanjut proses penajaan jawatankuasa bahagian yang baharu.
Majlis berkenaan turut menyaksikan kehadiran tokoh pengasas serta ahli veteran BERSATU Negeri Melaka yang hadir memberikan sokongan moral kepada kepimpinan baharu, sekali gus mencerminkan kesatuan semula dalam kalangan ahli akar umbi.
Menurut penganjur, penyertaan aktif ahli dalam program tersebut membuktikan semangat perjuangan parti di peringkat bahagian masih kukuh dan tidak terjejas walaupun berdepan pelbagai krisis dalaman.
Seruan Tenang Hadapi Krisis
Dalam ucapannya, YB Hilman Idham menyeru seluruh ahli BERSATU Jasin supaya kekal tenang dan matang dalam menghadapi sebarang cabaran politik yang berlaku.
Beliau menegaskan bahawa setiap krisis membawa peluang untuk memperkukuh organisasi serta membuka ruang kepada pembaharuan kepimpinan dan penyusunan strategi parti.
“Setiap krisis pasti hadir bersama peluang dan ruang untuk kita memperkukuh perjuangan,” katanya.
Kehadiran dan komitmen ahli pada program berkenaan juga dianggap sebagai petanda bahawa BERSATU Negeri Melaka sedang memasuki fasa pemulihan dengan sasaran untuk tampil lebih tersusun dan kompetitif pada masa hadapan.
