JURANG GAJI ANTARA KAUM SALAH SATU FAKTOR SERUAN “PAYUNG BESAR ORANG MELAYU” WAJIB DISAMBUT 

CHERAS, 4 Julai – Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Muhammad Hilman Idham menyahut cabaran dialog bersama Ketua Pemuda Amanah Nasional, YB Mohd Hasbie Muda yang dianjurkan oleh Malaysiagazette (MG) semalam. Dalam siri dialog bertajuk “Payung Besar Orang Melayu; Keperluan Bangsa Atau Helah Politik”, YB Hilman Idham menegaskan bahawa gagasan “Payung Besar Orang Melayu” adalah seruan afirmatif dan inklusif demi kestabilan negara, bukan retorik perkauman sempit. 

Dalam penyataan awal dialog MG semalam, YB Hilman Idham menekankan keperluan untuk memahami realiti sosioekonomi orang Melayu dan Bumiputera yang kian membimbangkan, dengan merujuk kepada Laporan Sosioekonomi Bumiputera oleh Institut Masa Depan Malaysia berkenaan kek ekonomi Bumiputera yang semakin mengecil. Beliau merujuk kepada taraf gaji dan pendapatan, pemilikan ekuiti, serta pegangan tanah Bumiputera yang masih ketinggalan berbanding kaum lain.

Menurut laporan tersebut, data daripada dapatan menunjukkan gaji penengah Bumiputera pada tahun 2023 hanyalah RM2,360 sebulan – hampir RM600 lebih rendah daripada kaum Cina dan sekitar RM100 lebih rendah daripada kaum India. Malah, buat pertama kali sejak 2010, gaji penengah Bumiputera lebih rendah daripada gaji penengah kaum India, selain pertumbuhan gaji Bumiputera yang lebih perlahan iaitu pada kadar 3.7% setahun berbanding kaum Cina pada kadar 3.8% setahun. Jurang pendapatan yang semakin melebar ini boleh membawa implikasi besar kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara jika tidak ditangani segera.

Menurut hujahnya, beliau turut menekankan bahawa “Payung Besar Orang Melayu” bukanlah usaha untuk menafikan hak kaum lain, tetapi langkah pemulihan struktur yang adil agar jurang sosioekonomi antara kaum dapat dikecilkan. “Kestabilan Melayu adalah kestabilan Malaysia. Apabila kek ekonomi kelompok majoriti ini mengecil, maka kestabilan nasional juga akan terjejas,” dengan merujuk kepada data pendapatan isi rumah penengah Bumiputera adalah RM5,793 sebulan, jauh lebih rendah berbanding kaum Cina pada RM8,167 dan kaum India pada RM6,627 sebulan.

Beliau menambah bahawa cabaran ini bukan hanya melibatkan isu luar bandar, tetapi juga masyarakat Melayu di kota raya yang masih berhadapan kesenjangan dalam pendidikan, pemilikan aset, ekuiti dan struktur ekonomi negara. Oleh itu, katanya, semboyan “Payung Besar Orang Melayu” adalah seruan untuk semua pihak kembali kepada kontrak sosial yang menjadi tiang seri negara sejak merdeka, agar dasar pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih inklusif dan saksama kepada seluruh rakyat.

Akhir sekali, YB Hilman Idham menyeru agar semua rakyat Malaysia bersikap terbuka dan pragmatik dalam membincangkan isu ini tanpa prejudis politik. “Payung Besar Orang Melayu bukan simbol eksklusif, tetapi gagasan kebangsaan untuk memastikan jurang yang wujud dapat dirapatkan demi kesejahteraan dan kestabilan negara. Apabila akar bangsa kuat, pohon negara tidak akan tumbang. Bersatu lah orang-orang Melayu. Bersatu lah anak-anak muda. Bersatu lah seluruh rakyat Malaysia. Ketepikan perbezaan kita. BERSATU untuk Malaysia.”, menutup ucapannya semalam.