Machang, 5 Julai – Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham menyeru agar semua ahli parti memperteguh iltizam, memelihara disiplin, serta membingkai muafakat demi kemenangan bersama.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Tahunan BERSATU Bahagian Machang 2025 yang berlangsung di Dewan Rimbun petang semalam, di hadapan lebih 320 orang perwakilan daripada 31 cawangan BERSATU di bahagian tersebut.
Dalam ucapannya, Hilman mengingatkan bahawa tanggungjawab kepada organisasi bukan sekadar urusan pentadbiran, tetapi merupakan sebahagian daripada perjuangan politik dalam kerangka sistem demokrasi.
“Persidangan tahunan seperti ini sewajarnya dijadikan wahana untuk menyatukan fikrah, menyusun gerak kerja masa hadapan dan melakukan refleksi terhadap usaha sepanjang tahun. Ia menjadi medan untuk memperkukuh semangat dan iltizam dalam kalangan pimpinan serta ahli di semua peringkat,” tegasnya.
Beliau turut menekankan pentingnya setiap ahli BERSATU mengekalkan disiplin organisasi dan memberi sepenuh tumpuan kepada agenda perjuangan demi menyelesaikan pelbagai masalah rakyat yang semakin mendesak.
“Muafakat yang kukuh antara pimpinan dan ahli bukan sahaja akan memperkuatkan BERSATU, tetapi juga mengukuhkan Perikatan Nasional untuk terus mara menuju Putrajaya,” tambah beliau.
Turut hadir dalam persidangan tersebut ialah Dato’ Timbalan Menteri Besar Kelantan, merangkap Pengerusi Perikatan Nasional Machang, bersama delegasi pimpinan PAS Kawasan Machang, menzahirkan komitmen bersama dalam memperkukuh gabungan PN di peringkat akar umbi.
