KONFLIK SEMPADAN THAILAND CAMBODIA; PANGGILAN TELEFON PERDANA MENTERI TIDAK MEMADAI.

KUALA LUMPUR, 25 Julai 2025 — Biro Politik ARMADA BERSATU Malaysia hari ini tampil menyatakan pendirian tegas terhadap empat isu kritikal yang menyentuh kepentingan rakyat dan kedaulatan negara. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua ARMADA, YB Muhammad Hilman Idham telah membincangkan perkara-perkara tersebut secara mendalam dalam mesyuarat rasmi yang diadakan tengah hari tadi.

1. Krisis Sempadan Thailand-Cambodia: Malaysia Jangan Sekadar Berdiam

ARMADA menzahirkan kebimbangan terhadap konflik yang semakin meruncing di sempadan Thailand dan Cambodia, khususnya di kawasan Ta Muen Thom dan Preah Vihear. Setakat ini, serangan darat dan udara telah mengorbankan sekurang-kurangnya 14 nyawa, termasuk seorang kanak-kanak yang cedera parah.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia digesa memainkan peranan lebih aktif dan tidak sekadar mengeluarkan kenyataan atau panggilan telefon. “Serangan terus berlaku selepas panggilan telefon Perdana Menteri pada 24 Julai. Ini menunjukkan perlunya tindakan lebih tegas dan diplomasi berkesan,” ujar ARMADA dalam kenyataan mereka.

2. Pelantikan Ketua Audit Negara: Langgar Prinsip Kebebasan Institusi

ARMADA turut membantah pelantikan Ketua Audit Negara daripada kalangan penjawat awam yang masih berkhidmat, menyifatkannya tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip kebebasan institusi.

ARMADA mencadangkan agar pelantikan dilakukan secara kontrak daripada kalangan pesara berkelayakan, selaras dengan prinsip dalam Mexico Declaration on the Independence of SAIs.

3. Sokongan Penuh kepada “United Opposition Front”

ARMADA menyokong penuh inisiatif Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membentuk “United Opposition Front” yang inklusif dan progresif. Gabungan ini dilihat penting untuk menyatukan suara pembangkang bagi memperkukuh semak dan imbang terhadap kerajaan yang dilihat semakin tidak responsif terhadap keperluan rakyat.

Langkah ini juga dianggap penting untuk membina kekuatan politik alternatif yang lebih tersusun dan berwibawa.

4. Himpunan Turun Anwar: Seruan Mobilisasi Gelombang Rakyat

ARMADA turut menyatakan keyakinan terhadap keberhasilan Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung esok. Himpunan ini dilihat sebagai titik mula gelombang suara rakyat menuntut perubahan.

ARMADA menyeru semua ahli BERSATU dan rakyat prihatin untuk turun secara aman dan berdisiplin, sambil membawa Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan dan tanggungjawab terhadap negara.