PENGANUGERAHAN ‘DATO SERI’ KEPADA FARHASH CEMAR MARUAH PINGAT KEBESARAN – ARMADA BERSATU PULAU PINANG

NIBONG TEBAL, 26 Julai – Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), ARMADA Pulau Pinang hari ini menyuarakan bantahan keras terhadap penganugerahan darjah kebesaran “Dato’ Seri” kepada Datuk Farhash Wafa Salvador yang didakwa tidak berpaksikan kepada prinsip merit dan sumbangan kepada negeri.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 25 Julai, ARMADA Pulau Pinang menyifatkan tindakan itu sebagai “satu pencemaran kepada reputasi institusi” apabila ia diberikan kepada individu yang bukan sahaja tidak memiliki rekod sumbangan yang jelas, malah turut dikaitkan dengan pelbagai kontroversi, termasuk skandal di Sabah.

“Pemberian darjah dan pingat kebesaran seharusnya berpaksikan kepada jasa serta sumbangan tulen terhadap negeri dan rakyat, bukan atas dasar hubungan peribadi atau kepentingan politik tertentu,” kata Muhammad Amirulfahmi Rosly, Penolong Setiausaha ARMADA BERSATU Negeri Pulau Pinang.

Menurut kenyataan itu lagi, ARMADA menyeru agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta pihak pencadang kembali kepada prinsip asal penganugerahan yang berlandaskan merit, integriti dan khidmat kepada masyarakat.

“Gelaran dan pingat kebesaran bukan sesuatu yang boleh dipermudah atau direndahkan nilainya. Ia adalah lambang penghormatan tertinggi negeri kepada rakyat, dan perlu sentiasa dipertahankan maruah serta kewibawaannya,” tegasnya.

ARMADA juga memberi amaran bahawa sebarang usaha memperalatkan penganugerahan ini demi ganjaran hubungan atau kepentingan politik peribadi adalah satu bentuk pengkhianatan kepada semangat asal penganugerahan negeri.

Farhash Wafa Salvador sebelum ini dilaporkan bakal menerima penganugerahan darjah kebesaran “Dato’ Seri”, yang mencetuskan reaksi pelbagai pihak termasuk di media sosial, susulan reputasi kontroversinya dalam beberapa isu nasional.

ARMADA BERSATU menegaskan mereka akan terus memantau proses penganugerahan di negeri ini dan bersuara sekiranya prinsip ketelusan dan keadilan tidak dipatuhi.