KEKAL RAKAN BERPRINSIP DALAM PN – MPT BERSATU HORMAT KEPUTUSAN MUHYIDDIN LETAK JAWATAN PENGERUSI PN

PETALING JAYA, 13 Januari 2026 — Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersidang semalam di bawah pengerusian Presiden parti, YB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, dengan perbincangan tertumpu kepada perkembangan politik semasa serta usaha memperkukuh Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agung BERSATU, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Mesyuarat MPT semalam juga mengambil maklum hujah Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional. MPT menyatakan penghormatan terhadap keputusan Presiden parti itu dan akan mempertahankan keputusan berkenaan yang dibuat atas dasar prinsip serta tanggungjawab.

Walau bagaimanapun, MPT turut membincangkan secara mendalam hala tuju Perikatan Nasional dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dengan penekanan kepada dasar yang sederhana, progresif dan prihatin terhadap rakyat.

Menurut kenyataan tersebut, MPT mengambil pendirian bahawa BERSATU akan kekal sebagai rakan gabungan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam Perikatan Nasional, serta akan terus memelihara kerjasama itu demi kestabilan dan kekuatan gabungan politik berkenaan.

MPT juga menyambut nasihat Presiden BERSATU agar semua ahli parti kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati, di samping menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti.