HAMZAH DEDAH MANIPULASI ANGKA POKOK DALAM BELANJAWAN 2026 – SAIFUDDIN ABDULLAH

INDERA MAHKOTA, 17 Okt – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Saifuddin Abdullah, menegaskan bahawa pendedahan Timbalan Presiden BERSATU, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin, mengenai manipulasi angka pokok dalam Belanjawan 2026 merupakan bukti jelas bahawa apa yang didakwa kerajaan sebagai tatakelola adalah, sebenarnya kosmetik semata-mata

Menurut Saifuddin, ketika membentangkan Gagasan Belanjawan Perikatan Nasional (PN) bertajuk “Membetul Kerangka, Menyemarak Ekonomi dan Melegakan Rakyat” di Dewan Rakyat baru-baru ini, Hamzah bukan sekadar mengemukakan kritikan, tetapi membongkar fakta penting yang menunjukkan wujudnya angka yang dimanipulasi dalam dokumen belanjawan rasmi negara.

“Hamzah mendedahkan bahawa terdapat jumlah RM50.8 bilion yang datang daripada dana GLIC, badan berkanun dan syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), namun ia tidak direkodkan dalam Akaun Hasil Disatukan. Ini bukan isu teknikal semata-mata, tetapi persoalan ketelusan – adakah angka ini boleh dianggap sebagai pelaburan awam yang sah?” soal Saifuddin.

Saifuddin turut menegaskan bahawa Gagasan Belanjawan PN menawarkan alternatif yang lebih jujur dan berpaksikan realiti, dengan memberi tumpuan kepada pembetulan struktur ekonomi, peningkatan hasil melalui inovasi dan produktiviti, serta usaha melegakan tekanan hidup rakyat. Katanya, PN tidak sekadar mengkritik tetapi datang dengan pelan tindakan menyeluruh yang mampu mengembalikan keyakinan terhadap keutuhan fiskal negara.

“Gagasan Belanjawan PN praktikal, boleh dilakukan, datang daripada orang yang mahu dan tahu melakukannya dan bermanfaat buat rakyat. la tawaran segar umpama belanjawan alternatif daripada pembangkang konstruktif yang merupakan kerajaan menunggu.,” tegas Saifuddin.