DAP MASUK SEKOLAH SELIT DOKTRIN HALUS; UMNO JANGAN BERDIAM DIRI – HALIM NAYAN

PARIT BUNTAR, 18 Okt — Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, Halim Nayan, mengecam tindakan ADUN Pasir Bedamar yang juga Ketua Pemuda DAP Malaysia, selepas tular dakwaan beliau menggunakan program rasmi di sekolah untuk menyelitkan mesej politik kepada pelajar.

Menurut Halim, tindakan wakil rakyat DAP itu menunjukkan sikap tidak sensitif dan gagal memahami keutamaan sebenar dalam menjaga kesejahteraan pelajar, terutama ketika pelbagai isu membabitkan buli, rogol, kes bunuh serta masalah disiplin semakin membimbangkan.

“Hari ini terbukti siapa yang sebenarnya memperalatkan institusi pendidikan untuk kepentingan politik. Kenyataan oleh YB Exco Kerajaan Negeri Perak daripada DAP, yang hadir ke sekolah atas nama kerajaan negeri dan secara terbuka mengajak pelajar ‘menyertai perjuangan kami’, adalah tindakan tidak beretika dan mencemarkan maruah institusi pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Halim turut mengingatkan bahawa DAP sebelum ini lantang menolak penglibatan ahli politik di sekolah, namun kini parti itu sendiri melanggar prinsip yang pernah mereka perjuangkan. Beliau menegaskan, jika benar tujuan kehadiran ke sekolah adalah untuk menyokong pendidikan, maka tumpuan perlu diberikan kepada manfaat bantuan, bukan kepada ajakan menyertai ideologi kepartian.

“Adakah tujuan sebenar pemberian bantuan ini untuk menyokong pendidikan, atau sebagai alat kempen halus bagi menanam pengaruh politik? Jika niatnya benar-benar untuk pendidikan, seharusnya fokus diberikan kepada manfaat bantuan tersebut,” tegasnya.

Beliau turut menyeru Pemuda UMNO Negeri Perak, sebagai rakan gabungan dalam kerajaan negeri, agar berani menegur tindakan Ketua Pemuda DAP itu demi menjaga integriti kerajaan negeri. Halim menegaskan, prinsip dan maruah pendidikan tidak boleh digadai hanya kerana kepentingan kuasa politik.

“Sekolah adalah pusat ilmu, bukan gelanggang politik. Jangan kerana kuasa, prinsip dan maruah pendidikan kita digadai,” katanya sambil menggesa Kerajaan Negeri Perak dan Menteri Pendidikan supaya segera menegur perbuatan sedemikian agar tidak menjadi amalan.