GOMBAK, 28 Ogos 2025 – ARMADA BERSATU Malaysia menggesa seluruh anak muda di negara ini untuk bangkit menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dijadualkan dibentangkan kali kedua di Parlimen.
Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham menegaskan bahawa RUU berkenaan bukan sahaja bercanggah dengan semangat perlembagaan, malah dilihat menghakis hak pemilikan rakyat. Menurutnya, cadangan menurunkan ambang persetujuan dalam urusan pembangunan semula merupakan satu bentuk “rompakan hak rakyat secara terbuka”.
“Anak muda adalah pewaris masa depan negara dan mereka perlu tegas mempertahankan hak setiap warganegara sebagaimana termaktub dalam perlembagaan. RUU URA ini jelas tidak melindungi hak pemilikan rakyat bahkan bercanggah dengan beberapa akta sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menyifatkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang tetap mahu meneruskan pembentangan RUU tersebut sebagai angkuh dan berdegil, walaupun menerima bantahan daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Sehubungan itu, ARMADA BERSATU menyeru kepimpinan sayap pemuda parti-parti politik serta NGO untuk bermuafakat menolak RUU URA demi menjamin masa depan rakyat. Hilman turut mengingatkan Menteri KPKT bahawa hak rakyat tidak boleh dinafikan, sebaliknya kedudukan kerajaan dan menteri boleh ditolak oleh kuasa majoriti.
