KUALA LUMPUR, 12 Januari 2026 — Tiga sayap pemuda parti komponen Perikatan Nasional (PN) menegaskan pendirian bahawa jawatan Pengerusi Perikatan Nasional mestilah diisi oleh mana-mana Presiden parti yang mempunyai kuasa eksekutif serta autoriti penuh dalam membuat keputusan dasar gabungan.
Ketua Pemuda Kebangsaan Malaysia Indian People Party (MIPP), Justin Prabakaran, berkata pendirian itu disampaikan secara langsung kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu pertemuan di Bukit Damansara pagi ini, yang turut dihadiri Ketua ARMADA BERSATU Malaysia dan Ketua Pemuda GERAKAN.
Menurutnya, ketiga-tiga sayap pemuda menghormati keputusan Tan Sri Muhyiddin untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, namun berpandangan bahawa perletakan jawatan tersebut memberi implikasi besar terhadap imej, kestabilan dan kesiapsiagaan PN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Sebagai teraju utama yang bakal memimpin PN dalam pilihan raya umum akan datang, ketiga-tiga sayap pemuda berpandangan jawatan Pengerusi PN mesti diisi oleh kepimpinan yang absah, inklusif, diterima semua kaum serta mempunyai rekod kepimpinan yang diyakini rakyat Malaysia.
Justeru ketiga-tiga sayap pemuda parti komponen Perikatan Nasional (PN) tersebut mencadangkan agar Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal menerajui kepimpinan gabungan itu sebagai Pengerusi PN demi memastikan kestabilan dan kekuatan menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Untuk menang dalam pilihan raya, PN perlu diterajui oleh figura yang mampu menjana penyatuan serta menggarap sokongan majoriti rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
