PUTRAJAYA, 10 JANUARI 2026 — Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyatakan penghormatan terhadap keputusan majoriti 2–1 Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan BERSATU berkaitan empat bekas Ahli Parlimen parti itu, namun menegaskan keputusan berkenaan telah menjejaskan semangat dan hasrat sebenar undang-undang anti-lompat parti.
Dalam satu hantaran di media sosial, beliau berkata keputusan tersebut menjadikan undang-undang anti-lompat parti tidak berkesan dari sudut pelaksanaan, sekali gus gagal menterjemahkan niat, roh dan objektif asal penggubalannya. Menurut beliau, undang-undang yang lemah sedemikian hanya menjadi “hiasan perundangan” tanpa impak sebenar terhadap integriti sistem demokrasi dan mandat rakyat.
Ronald turut menegaskan perkembangan itu menuntut keperluan mendesak untuk Parlimen meneliti, meminda dan memperkukuhkan semula peruntukan berkaitan agar undang-undang berkenaan benar-benar mampu mengekang pengkhianatan mandat rakyat serta menjamin kestabilan politik berteraskan prinsip, akauntabiliti dan kebertanggungjawaban. Beliau berkata sekiranya Parlimen tidak bersedia membetulkan kelemahan tersebut, undang-undang berkenaan wajar dimansuhkan.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menamatkan usaha perundangan BERSATU selama hampir tiga tahun untuk mengosongkan kerusi Parlimen Papar, Batu Sapi, Ranau dan Sipitang yang disandang Armizan Mohd Ali, Khairul Firdaus Akbar Khan, Jonathan Yasin dan Matbali Musah. Dalam keputusan berbelah bahagi, dua hakim menolak permohonan kebenaran merayu BERSATU dengan memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh mencampuri kuasa Speaker Dewan Rakyat yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah memutuskan kuasa Speaker di bawah Perkara 49A Perlembagaan bukan bersifat pentadbiran semata-mata dan tidak boleh disemak kehakiman kecuali jika melampaui bidang kuasanya, manakala seorang hakim menyatakan perbezaan pendapat dengan menyifatkan isu berkenaan penting dan berkepentingan awam. Kes tersebut berpunca daripada keputusan Speaker Dewan Rakyat untuk tidak mengosongkan kerusi empat Ahli Parlimen berkenaan selepas mereka menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
