PETALING JAYA, 23 Feb — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedang melaksanakan proses penyusunan semula struktur organisasi parti melibatkan beberapa bahagian serta sayap parti susulan peletakan jawatan ketua dan ahli jawatankuasa di peringkat tertentu.
Presidennya, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu kenyataan media baru-baru ini memaklumkan bahawa sebuah Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan bagi menyelaras usaha tersebut.
Pasukan itu akan dipengerusikan bersama oleh dua Naib Presiden parti iaitu Radzi Jidin dan Ahmad Faizal Azumu, yang diberi tanggungjawab melaksanakan proses penyusunan semula bahagian serta sayap parti yang terlibat.
Menurut beliau, Setiausaha Agung parti, YB Dato’ Seri Azmin Ali, akan bertindak sebagai sekretariat kepada Pasukan Petugas Khas berkenaan.
Dalam masa sama, Ketua-Ketua Badan Pimpinan Negeri telah diarahkan untuk mengenal pasti bahagian-bahagian yang terkesan bagi membolehkan tindakan segera diambil mengikut perlembagaan parti.
Muhyiddin berkata, proses penyusunan semula itu akan melibatkan pelantikan pemangku Ketua Bahagian atau pembentukan jawatankuasa bahagian yang baharu bagi memastikan kelangsungan pentadbiran organisasi.
Langkah sama turut melibatkan sayap-sayap parti yang mengalami peletakan jawatan, sama ada melalui pemangkuan jawatan atau pembentukan barisan kepimpinan baharu.
Beliau menegaskan bahawa BERSATU mempunyai barisan pelapis serta ahli aktif di setiap bahagian yang bersedia memikul tanggungjawab untuk memperkukuhkan parti.
“Saya yakin ramai ahli BERSATU yang setia dengan perjuangan parti akan tampil ke hadapan untuk menggalas amanah ini,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Muhyiddin turut menegaskan komitmen berterusan parti terhadap kerjasama politik di bawah gabungan Perikatan Nasional.
