KEPUTUSAN MAS ERMIEYATI PENDIRIAN PERIBADI, BUKAN PENDIRIAN RASMI SAYAP SRIKANDI BERSATU – NOLEE ASHILIN

KUALA LUMPUR, 16 FEBRUARI 2026 – Naib Ketua Srikandi BERSATU Malaysia, Nolee Ashilin Mohd Radzi, menegaskan bahawa kenyataan sokongan yang dikeluarkan oleh Mas Ermieyati Samsudin terhadap Hamzah Zainudin merupakan keputusan peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi sayap wanita parti.

Menurut beliau, setakat pengetahuan serta penglibatannya dalam platform rasmi dalaman Srikandi BERSATU Malaysia, tiada sebarang isu ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Presiden parti pernah dibangkitkan secara rasmi atau melalui saluran organisasi yang sewajarnya.

Beliau berkata, setiap ahli mempunyai hak untuk menyatakan pendirian politik masing-masing, namun sebarang keputusan atau kenyataan yang melibatkan hala tuju sayap parti perlu melalui proses perbincangan dan musyawarah selaras dengan perlembagaan serta amalan kepimpinan yang berstruktur.

“Pendirian yang diumumkan adalah kenyataan peribadi dan tidak mewakili sayap Srikandi. Sebarang keputusan berkaitan hala tuju organisasi perlu dibincangkan secara kolektif,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Nolee menegaskan kekuatan Sayap Srikandi BERSATU bergantung kepada kesatuan, disiplin dan kematangan dalam mengurus perbezaan pandangan dalam kalangan ahli. Beliau turut mengingatkan agar setiap tindakan yang diambil tidak menjejaskan kestabilan parti serta kepercayaan akar umbi.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua ahli Srikandi supaya kekal tenang, tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi dan terus berpegang kepada prinsip perjuangan parti.

Nolee turut berharap agar semua pihak diberikan petunjuk dalam membuat keputusan terbaik demi kepentingan agama, bangsa dan negara.