Kuala Lumpur, 20 April 2025 — Srikandi Muda BERSATU menggesa tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam insiden berulang paparan bendera Malaysia tanpa lambang bulan sabit, yang disifatkan sebagai mencemari simbol negara serta mencabar kedudukan Islam dan institusi Raja-Raja Melayu.
Terbaharu, insiden melibatkan paparan bendera tidak lengkap dikesan di penganjuran 54th TCE Baby Expo di Mid Valley Exhibition Centre, beberapa hari selepas kesilapan serupa berlaku dalam laporan media arus perdana sempena ketibaan rasmi Presiden China ke Malaysia. Kedua-dua insiden telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat, termasuk sayap wanita muda parti pembangkang tersebut.
Ketua Penerangan Srikandi Muda, Nur Farah Azrina Md Azis, dalam satu kenyataan menyifatkan pengguguran lambang bulan sabit sebagai bukan sekadar kecuaian grafik, tetapi penghinaan terbuka terhadap Jalur Gemilang, agama Islam sebagai agama Persekutuan, dan kedaulatan institusi diraja.
“Kecuaian ini mencerminkan kelonggaran sistem kawalan editorial serta lemahnya semangat patriotisme dalam kalangan pihak yang sepatutnya lebih peka terhadap simbol negara,” katanya sambil mempersoalkan bagaimana kesilapan yang sama boleh terus berulang tanpa sebarang tindakan tegas.
Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan kelemahan sistem pendidikan negara yang didakwa gagal memupuk penghayatan terhadap identiti kebangsaan. Menurutnya, kerajaan perlu mempertimbangkan penstrukturan semula dasar pendidikan, termasuk memperkukuh perpaduan nasional melalui satu sistem aliran sekolah kebangsaan.
Dalam pada itu, Srikandi Muda turut mempersoalkan kecekapan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang masih belum menyatakan sebarang pendirian terhadap insiden-insiden ini. Mereka membandingkan tindakan pantas yang pernah diambil dalam kes-kes melibatkan selebriti tempatan dengan layanan yang dilihat longgar apabila melibatkan simbol kedaulatan negara.
“Jika isu melibatkan personaliti media mendapat tindakan serta-merta, tetapi penghinaan terhadap Jalur Gemilang dibiarkan begitu sahaja, ia menunjukkan wujudnya sikap ‘double standard’ dalam pentadbiran kerajaan hari ini,” katanya.
Sehubungan itu, Srikandi Muda mendesak agar tindakan undang-undang diambil terhadap semua pihak yang terlibat dan menyeru rakyat untuk membuat laporan polis demi mempertahankan maruah negara.
“Kedaulatan negara, agama Islam dan institusi Raja-Raja Melayu bukan bahan permainan. Tindakan tegas perlu diambil segera agar perkara ini tidak berulang,” tegas Nur Farah Azrina.