KUALA LUMPUR, 6 Mei 2025 — Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, YB Wan Ahmad Fayhsal menempelak Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ucapan perbahasan di Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan isu tarif perdagangan Amerika Syarikat AS, dengan menyifatkan kerajaan sebagai “lemah dan lalai” dalam menangani ancaman pengumuman tarif perdagangan AS.
Menurut beliau, tindakan Presiden Donald Trump mengenakan tarif balas setinggi 24% ke atas eksport Malaysia merupakan “pengisytiharan perang ekonomi secara terang-terangan”, namun respons kerajaan disifatkan terlalu longgar dan lambat, tanpa sebarang pelan mitigasi konkrit.
“Ucapan Perdana Menteri lebih menumpukan kepada angka-angka lama – statistik 2024 yang sudah tidak lagi relevan dalam realiti pasca-tarif Trump. Kita perlukan forecast, bukan nostalgia. Kita perlukan resilience-building, bukan sekadar menyebut “ekonomi domestik kita kukuh”. Saya ingin bertanya – di manakah pelan mitigasi khusus bagi sektor yang terjejas?”, tegas beliau.
Beliau turut menegur sikap kerajaan yang masih dalam “zon selesa” walaupun amaran awal tentang dasar perlindungan Trump telah diberikan sejak beliau menang pilihan raya pada November lalu.
Wan Ahmad Fayhsal menzahirkan kebimbangan terhadap cadangan kerajaan untuk “memujuk Amerika” dengan mengorbankan perolehan kerajaan, longgar dalam dasar halal dan bertolak ansur dalam agenda Bumiputera.
“Agenda Bumiputera dan perolehan kerajaan sepatutnya untuk rakyat Malaysia, bukan sebagai hadiah kepada kuasa asing. Adakah YAB PM lupa bahawa kontrak GLC seperti Petronas dan KTMB harus mengutamakan syarikat Bumiputera?”, tegasnya lagi.
Beliau turut menggesa kerajaan menangguhkan pelan penghapusan subsidi bahan api, pembatalan kenaikan SST yang dijadualkan pada Mei 2025, dan menyalurkan lebih banyak suntikan fiskal ke sektor berimpak tinggi.
Dalam ucapannya juga, Wan Ahmad Fayhsal turut memetik data aliran keluar pelabur asing sebanyak RM10 bilion dan kejatuhan indeks FBM KLCI sebanyak 7.3% sebagai tanda hilangnya keyakinan pasaran terhadap kepimpinan negara.
Beliau menyimpulkan bahawa Malaysia tidak boleh lagi ditadbir dengan pendekatan ‘business as usual’ dalam keadaan krisis ekonomi global yang semakin parah.
“Kita perlukan kerajaan yang mempunyai mentaliti perang – bukan sekadar mentaliti rundingan,” tegasnya.
Sebagai langkah segera, beliau mencadangkan pengisytiharan Pelan Kesiapsiagaan Perang Perdagangan Nasional, moratorium birokrasi untuk memudahkan pelaburan, perincian pelan kontinjensi menghadapi kegagalan rundingan dengan AS, dan jaminan kepada pelabur mengenai integriti serta ketelusan institusi negara akan diperkuat bukan dikomproni.
Sidang khas ini diadakan susulan krisis pengumumna tarif perdagangan baharu yang dikenakan AS ke atas Malaysia, menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat khususnya pemain industri eksport negara.