MASJID TANAH, 26 Mei 2025 – Ketua SRIKANDI BERSATU Malaysia, YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin mengeluarkan kenyataan tegas bahawa negara sedang berada di persimpangan kritikal dan memerlukan satu ‘reset’ menyeluruh demi masa depan Malaysia yang lebih adil, stabil dan berdaya saing.
Beliau berkata, harapan rakyat terhadap sebuah pentadbiran yang berintegriti, cekap dan berkaliber telah gagal dipenuhi. Situasi terkini melibatkan pemilihan PKR disifatkan sebagai bukti jelas bahawa nepotisme semakin berakar dalam parti pemerintah.
“Jika ‘family planning’ dihalalkan dalam parti pemerintah, bagaimana rakyat boleh yakin bahawa nepotisme, kronisme dan salah guna kuasa tidak akan berlaku dalam kerajaan? Malah pelbagai isu integriti termasuk skandal MyKiosk sudah pun mencemari pentadbiran kerajaan Madani,” katanya.
Tambah beliau, segala kerosakan ini berlaku dalam hanya separuh penggal pentadbiran dan jika tidak dihentikan, ia bakal membawa kesan buruk kepada masa depan negara.
Sehubungan itu, Wanita PN menyatakan sokongan penuh terhadap idea Konsensus Nasional Baharuyang dicetuskan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin. Konsensus ini dilihat sebagai satu kerangka besar dan realistik untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia melalui rejuvenasi menyeluruh dalam sistem politik, ekonomi dan tadbir urus negara.
Konsensus tersebut berteraskan tiga prinsip utama: matlamat bersama, kemakmuran bersama dan tadbir urus penuh ihsan, dengan matlamat menyatukan semua kelas politik, suara keagamaan, masyarakat sivil dan seluruh rakyat Malaysia.
Beliau turut menegaskan bahawa konsensus ini merupakan peluang penting kepada wanita untuk memainkan peranan dalam agenda pemulihan negara. “Wanita bukan sekadar penyokong di barisan belakang, tetapi pemegang amanah dalam membentuk masa depan negara,” katanya sambil menyatakan keyakinannya bahawa “A better Malaysia is not a dream — it is a commitment.”