SAYA BAWA SUARA RAKYAT, SAYA TIDAK AKAN SESEKALI GENTAR DENGAN UGUTAN SAMAN – MAS ERMIEYATI

MASJID TANAH, 25 Mei 2025 – Ahli Parlimen Masjid Tanah, YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ketua Srikandi BERSATU Malaysia menegaskan bahawa beliau tidak akan berundur atau gentar dengan sebarang bentuk ugutan saman berikutan kritikannya terhadap kelewatan dan kelemahan pengurusan pinjaman pendidikan TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kritikan terbuka beliau yang mendapat reaksi daripada Setiausaha Agung UMNO merangkap Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Kritikan tersebut, menurut Mas Ermieyati, adalah suara rakyat yang disampaikan kepada beliau melalui pelbagai aduan dari ibu bapa dan pelajar yang bimbang dengan masa depan pendidikan mereka.

“Saya suarakan sebagai Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat dan yang diberi amanah oleh rakyat,” tegasnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Mas Ermieyati turut mempersoalkan beberapa perkara berbangkit seperti kelewatan permohonan pinjaman pelajar bagi pengambilan Mac 2025, ketidaktentuan pembayaran balik pinjaman TVET, ketiadaan bantuan TESP bagi tahun ini serta perbelanjaan jelajah luar negara oleh pihak pengurusan MARA yang dikatakan melibatkan dana awam.

Beliau juga menyatakan kekesalan apabila Asyraf Wajdi mengambil pendekatan menggunakan peguam MARA terhadap kritikan yang disuarakan, sedangkan tanggungjawab utama MARA adalah membela pelajar dan hak rakyat, bukan mempertahankan kepentingan individu.

“Ini bukan soal ego politik, ini soal nasib anak bangsa. Janganlah digunakan duit rakyat untuk tutup suara rakyat pula,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengingatkan bahawa MARA adalah milik rakyat dan tidak seharusnya dijadikan ‘warisan peribadi’ oleh mana-mana pemimpin.

“Saya akan terus bersuara demi anak-anak Bumiputera, demi pelajar-pelajar TVET, demi rakyat Malaysia dan negara tercinta,” tambah beliau.

Beliau menyerahkan isu tersebut kepada proses undang-undang sekiranya saman tetap diteruskan dan bersedia menghadapinya demi memperjuangkan kebenaran dan keadilan.