WAN SAIFUL DESAK SKMM HENTI CEROBOH PRIVASI RAKYAT, PENGUMPULAN DATA SENYAP-SENYAP

TASEK GELUGOR, 11 Jun 2025 — Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, YB Datuk Wan Saiful Wan Jan, hari ini mengecam keras tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang didakwa cuba mencabuli hak privasi rakyat melalui projek pengumpulan data telefon bimbit dikenali sebagai “Mobile Phone Data project” (MPD).

Dalam kenyataan medianya, YB Datuk Wan Saiful menzahirkan penghargaan kepada South China Morning Post yang membongkar arahan kerajaan supaya syarikat telekomunikasi menyerahkan data panggilan dan penggunaan internet rakyat Malaysia.

“Saya tertanya-tanya jika tiada pembongkaran media antarabangsa, adakah kerajaan akan teruskan langkah ini secara senyap-senyap?” soal beliau.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu juga turut mendakwa keputusan kabinet berhubung projek MPD telah dibuat sejak 19 April 2023, dan menimbulkan kebimbangan bahawa kerajaan mungkin telah mengumpulkan data rakyat secara senyap selama dua tahun tanpa sebarang makluman awam.

Mengulas kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang mempertahankan arahan SKMM kepada syarikat telekomunikasi, Wan Saiful menegaskan bahawa alasan data yang dikumpul “berbentuk agregat” dan “bukan data peribadi” adalah lemah dan tidak meyakinkan.

“Arahan ini membuka pintu kepada pelanggaran hak privasi rakyat dan risiko manipulasi data oleh mereka yang berkuasa,” katanya, sambil memberi amaran bahawa data agregat boleh digabung dengan sumber lain untuk membentuk profil individu yang mendalam.

Beliau juga membidas keberkesanan Akta Perlindungan Data Peribadi, yang menurutnya lemah dalam penguatkuasaan dan tidak terpakai kepada kerajaan. Tanpa mekanisme pengawasan bebas, katanya, tidak ada jaminan bahawa data tersebut tidak akan disalah guna untuk tujuan politik atau menyekat kebebasan maklumat.

“Mereka kata kutipan data ini untuk dasar yang lebih baik — itu satu jenaka besar. Kegagalan kerajaan hari ini bukan kerana kurang data, tetapi kerana tiada hala tuju, tiada kompetensi, dan pemimpin mereka lebih sibuk mencaturkan ahli keluarga ke tampuk kuasa,” katanya lagi.

Wan Saiful menyifatkan langkah ini sebagai cubaan kerajaan untuk menjadi “Abang Besar” yang memantau rakyat, dan menyeru agar pengumpulan data dihentikan serta-merta. Beliau turut menggesa penubuhan jawatankuasa bebas rentas parti di Parlimen untuk menyemak dan memantau kuasa pengawasan SKMM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *