KUALA LUMPUR, 11 Jun 2025 — Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin hari ini menyuarakan kebimbangan serius terhadap rancangan pemberhentian 5,000 pekerja kontrak PETRONAS, menyifatkan langkah itu sebagai “tidak berperikemanusiaan” dan mengejutkan.
Menurut beliau, walaupun pekerja terbabit berstatus kontrak, ramai antara mereka telah lama berkhidmat dengan syarikat minyak dan gas milik negara itu dan mempunyai keluarga untuk disara. Justeru, pemberhentian secara besar-besaran tanpa sebarang pelan sokongan atau latihan semula dianggap tidak wajar.
“Adalah wajar pemberhentian mereka dibuat secara berperingkat, selepas diberikan latihan keusahawanan dan bantuan modal untuk mereka menceburi bidang perniagaan yang sesuai dengan kemahiran mereka,” tegas YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar dana-dana pembangunan usahawan Bumiputera dimanfaatkan untuk menyokong golongan pekerja ini agar mampu “berdiri di atas kaki sendiri”.
PETRONAS ketika ini sedang berdepan tekanan kewangan susulan kejatuhan harga minyak global serta peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui. Pada tahun lalu, syarikat itu mencatatkan penurunan keuntungan selepas cukai sebanyak 32%, daripada RM80.7 bilion pada 2023 kepada RM55.1 bilion pada 2024.
Tambahan pula, pertikaian antara PETRONAS dan PETROS berkenaan pengedaran gas di Sarawak yang masih belum selesai turut menjejaskan aktiviti eksplorasi serta memberi kesan kepada syarikat-syarikat dalam sektor minyak dan gas negara.
Menurut laporan The Edge bertarikh 2 Jun 2025, beberapa syarikat minyak dan gas lain turut melaporkan kerugian atau penyusutan pendapatan bagi suku pertama 2025. Salah satu punca utama ialah kelewatan PETRONAS memulakan kerja eksplorasi akibat konflik berlarutan dengan kerajaan negeri Sarawak.
YB Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran bahawa jika situasi ini berterusan, ia bukan sahaja mengancam nasib 5,000 pekerja yang bakal diberhentikan, tetapi juga boleh memberi kesan berantai terhadap lebih 70,000 pekerja dalam industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas di Malaysia.
Sebagai syarikat milik negara yang menyumbang dividen besar kepada kerajaan dan memainkan peranan utama dalam pembangunan ekonomi, Muhyiddin menegaskan bahawa PETRONAS dan kebajikan para pekerjanya mesti dipertahankan.
Beliau juga mengingatkan kerajaan supaya lebih berhemah dalam penggunaan dana PETRONAS, khususnya dalam suasana ekonomi yang masih rapuh dan hutang negara yang kian meningkat, yang dikhuatiri akan menjejaskan aliran tunai syarikat itu.
“Kerajaan mesti segera membentangkan pelan kelestarian PETRONAS dan hala tuju industri minyak dan gas negara,” tegas beliau, sambil menekankan bahawa masa depan industri strategik ini harus dijamin demi kepentingan negara secara keseluruhan.