SEPANG, 16 Jun 2025 — ARMADA BERSATU Negeri Selangor hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, yang mendesak Kerajaan agar membatalkan perluasan skop cukai SST, kenaikan tarif elektrik dan menangguhkan penyasaran subsidi petrol Ron 95, rentetan kebimbangan terhadap pelaksanaan serentak beberapa dasar ekonomi Kerajaan yang didakwa bakal menambah beban hidup rakyat dan menekan para peniaga, khususnya dalam separuh kedua tahun ini.
Dalam satu kenyataan media, Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Negeri Selangor, Hafizan Naimman menegaskan bahawa dasar-dasar seperti perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kenaikan tarif asas elektrik, dan pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 bukanlah isu remeh, malah mampu mencetuskan gelombang inflasi kedua di saat ekonomi global sedang tidak menentu dan kuasa beli rakyat kian merosot.
Menurut beliau, rakyat kini berdepan tekanan kos hidup yang semakin menghimpit dengan kenaikan harga barang, kos pengangkutan serta peningkatan kos operasi perniagaan yang memberi kesan langsung kepada perbelanjaan isi rumah. Lebih membimbangkan, dasar-dasar ini didakwa dilaksanakan tanpa strategi menyeluruh dan telus, terutamanya mengenai penjelasan kategori T15 dan sistem perlindungan sosial yang masih belum mantap.
Sebagai suara anak muda dan rakyat biasa, ARMADA BERSATU Selangor menyifatkan langkah Kerajaan itu sebagai terburu-buru, tidak inklusif serta gagal memahami realiti hidup rakyat di lapangan. Mereka menegaskan bahawa statistik dan angka yang indah tidak bermakna jika perut rakyat masih kosong dan perniagaan kecil terus bergelut untuk bertahan.
Sehubungan itu, ARMADA BERSATU Negeri Selangor mendesak Kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaan dasar-dasar tersebut sehingga satu kerangka menyeluruh, adil dan berasaskan data dapat disiapkan. Mereka juga menggesa agar sesi libat urus terbuka bersama pihak industri dan wakil rakyat diadakan segera, selain mewujudkan sistem jaringan keselamatan sosial yang automatik dan menyeluruh sebelum subsidi bersasar dilaksanakan.