“KESAN KENAIKAN HARGA BARANG MULA TERASA”, ARMADA BERSATU TAIPING SERU RAKYAT SERTAI HIMPUNAN “TURUN ANWAR”

TAIPING, 6 Julai 2025 — Demi menyahut seruan untuk rakyat Malaysia menyertai Perhimpunan “Turun Anwar” pada 26 Julai ini, ARMADA BERSATU Taiping menegaskan pendirian menyertai himpunan “Turun Anwar” sebagai tanda protes menolak keras tekanan ekonomi yang terus-menerus dikenakan oleh kerajaan terhadap rakyat, susulan peluasan skop cukai SST bermula 1 Julai lalu.

Kenaikan cukai jualan serta peluasan cukai perkhidmatan – termasuk ke atas sektor sewaan, perbankan, logistik, dan pelbagai perkhidmatan asas – membuktikan bahawa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim telah hilang kompas keadilan sosial dan gagal memahami kesempitan hidup rakyat marhaen.

“Rakyat disuruh ikat perut, tetapi kerajaan terus rakus menggali hasil dari poket rakyat biasa. Yang kaya terus dilindungi, yang miskin terus diperah,” tegas Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Taiping, Ameer Anuar.

Menurut beliau, alasan “meningkatkan hasil negara” hanyalah retorik lapuk jika ketirisan, pembaziran, dan salah urus kewangan kerajaan tidak ditangani secara menyeluruh. Menaikkan cukai tanpa reformasi ketelusan hanyalah satu bentuk kezaliman ekonomi terhadap rakyat kebanyakan.

Hari ini bukan sahaja peniaga kecil yang tertekan, malah pengguna harian menanggung harga barangan yang melambung, yuran perkhidmatan yang membebankan, dan tekanan hidup yang semakin menghimpit. “Rakyat bukan alat untuk menutup kelemahan pentadbiran. Perhimpunan 26 Julai ini adalah isyarat jelas bahawa kesabaran rakyat ada batasnya.”

ARMADA BERSATU Taiping menyeru seluruh rakyat, khususnya anak muda yang kian terhimpit dengan peluang pekerjaan terbatas, untuk bangkit menyuarakan bantahan. Ini bukan soal politik sempit – ini soal keadilan sosial dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia seluruhnya.