PUTRAJAYA, 10 Julai 2025 – Perikatan Nasional (PN) hari ini menjunjung kasih atas titah Istana Negara yang menekankan kepentingan menangani isu pelantikan hakim dengan cermat dan penuh integriti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Pembangkang, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin, berkata Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bahawa pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Namun dalam keadaan Perdana Menteri hari ini mempunyai konflik kepentingan peribadi, memandangkan beliau sendiri berdepan beberapa saman sivil di mahkamah, adalah munasabah dan wajar untuk pelbagai pihak merasa curiga tentang wujudnya campur tangan politik dalam soal pelantikan hakim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU itu juga mencadangkan supaya Perdana Menteri mengambil cuti dan seorang Perdana Menteri Interim dilantik untuk menjalankan tanggungjawab tersebut, khususnya di bawah Perkara 122B.
“Ini akan menghilangkan prejudis terhadap proses pelantikan hakim dan persepsi umum yang mengaitkan Perdana Menteri terlibat menentukan hakim-hakim yang akan membicarakan kes beliau, demi menjaga integriti, kebebasan dan kemuliaan institusi kehakiman negara,” katanya.
