Karambunai, 24 Julai 2025 – Srikandi Muda BERSATU hari ini mempersoalkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu ekonomi anak muda susulan pengumuman bantuan one-off RM100 oleh Perdana Menteri.
Naib Ketua Srikandi Muda BERSATU Malaysia, Nabila Binti Norsahar berkata bantuan bersifat sementara itu tidak mencerminkan penyelesaian menyeluruh terhadap beban hidup rakyat, terutamanya golongan muda yang sedang memulakan kehidupan.
“Anak muda yang baru berkahwin, yang baru menjejak alam pekerjaan, malah yang sedang membina perniagaan sendiri terus dihimpit tekanan ekonomi. Bantuan RM100 ini tidak menyentuh pun realiti hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa ramai anak muda kini terpaksa bekerja dua hingga tiga pekerjaan hanya untuk meneruskan kehidupan, berdepan gaji yang tidak setimpal, serta hutang pendidikan yang membebankan.
“Kerajaan perlu tampil dengan dasar ekonomi yang menyeluruh dan pelan jangka panjang yang jelas. Anak muda tidak mahu diberi imbuhan sementara semata-mata untuk menutup kritikan,” tambahnya.
Srikandi Muda turut menegaskan bahawa Himpunan TURUN ANWAR yang dijadualkan pada 26 Julai ini akan tetap diteruskan sebagai mesej jelas kepada kerajaan bahawa rakyat, khususnya generasi muda, sudah hilang kepercayaan terhadap pendekatan yang tidak berpaksikan penyelesaian sebenar.
