KUALA LUMPUR, 27 Okt – Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), YB Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa kesal terhadap sambutan luar biasa yang diberikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sewaktu ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Muhyiddin mengingatkan bahawa beliau sebelum ini sudah menegur di Dewan Rakyat agar kerajaan tidak wajar memberikan sambutan meriah kepada tokoh yang secara terang-terangan bersekongkol dengan rejim Zionis Israel, terutama ketika rakyat Palestin sedang menderita akibat kekejaman berterusan di Gaza.
“Sambutan sedemikian memberi gambaran seolah-olah Malaysia begitu teruja meraikan kedatangan tokoh yang menyokong rejim Zionis Israel melakukan jenayah genosida terhadap rakyat Palestin. Tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang turut menari bersama Trump amat mengguris hati rakyat Malaysia yang bersimpati dengan nasib rakyat Palestin,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai hipokrasi moral dan politik apabila Perdana Menteri yang sebelum ini lantang mengutuk kekejaman Israel, kini menunjukkan keakraban luar biasa terhadap individu yang menjadi simbol dasar luar Amerika Syarikat yang melindungi rejim Zionis.
“Trump ialah simbol keangkuhan dasar luar Amerika Syarikat yang melindungi kekejaman rejim Zionis Israel. Menyambut tokoh seperti ini dengan keghairahan melampau amat memalukan Malaysia,” tegas beliau.
Muhyiddin menegaskan bahawa Malaysia perlu kekal berpegang kepada pendirian moral dan kemanusiaan dalam hal ehwal antarabangsa, bukan tunduk kepada tarikan kuasa besar yang bertentangan dengan nilai perjuangan rakyat Palestin yang selama ini disokong oleh negara.
