LAUNGAN ‘TOLAK GRS’ BERGEMA DI PUSAT PENAMAAN CALON PRN SABAH

KOTA KINABALU, — Suasana di beberapa Pusat Penamaan Calon (PPC) PRN Sabah pagi ini tegang dengan laungan “Tolak GRS!” oleh kumpulan penyokong parti lain yang hadir sejak awal pagi bagi mengiringi calon masing-masing. Laungan yang dilaporkan turut bergema di beberapa daerah termasuk Papar, Bongawan, Keningau dan Beluran, menjadi isyarat jelas bahawa sentimen penolakan terhadap kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah GRS semakin kuat.

Di Bongawan, ratusan penyokong pembangkang berkumpul seawal jam 7 pagi dan melaungkan ‘Tolak GRS’ ketika calon-calon tiba di pintu masuk PPC. Mereka mendakwa kepimpinan GRS bukan sahaja banyak terkait isu korupsi melibatkan rasuah dan kontroversi kes Zara Qairina, malah kerajaan negeri dibawah GRS dilihat gagal menangani isu rakyat seperti bekalan air bersih, jalan kampung yang tidak diselenggara, serta ekonomi setempat yang tidak berkembang. Beberapa orang muda yang ditemui menyifatkan laungan “Tolak GRS” sebagai kemuncak kekecewaan mereka terhadap kerajaan negeri sejak tahun 2020.

Keadaan serupa turut kelihatan di beberapa Pusat Penamaan Calon yang lain, apabila terdapat juga sekumpulan penyokong parti lain membawa poster dan kain rentang mendesak perubahan kepimpinan negeri. Ada yang menyatakan bahawa penolakan terhadap GRS bukan lagi sekadar naratif kempen, tetapi gelombang akar umbi yang mula melebar seiring tempoh kempen rasmi yang sedang bermula.

Perkembangan ini boleh dilihat sebagai indikator awal bahawa GRS berdepan cabaran besar dalam mempertahankan kekuasaan. Mereka menegaskan bahawa jika sentimen ini berterusan sehingga hari mengundi, beberapa kerusi marginal dijangka menjadi pertarungan sengit dan berpotensi menyaksikan kejutan kebangkitan gelombang kuasa ketiga iaitu Perikatan Nasional.