PAGOH, 13 Dis — Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan menerusi sebuah suntingan video tular mengaitkan Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau mencuri wang parti dan menyimpannya di rumah.
Muhyiddin menegaskan dakwaan tersebut merupakan tuduhan liar berbentuk sangkaan yang amat tidak berasas serta mencemarkan reputasinya sebagai pemimpin politik. Beliau menegaskan tidak pernah mencuri wang parti dan semua sumbangan dimasukkan ke dalam akaun parti yang diurus secara telus oleh Bendahari Agung.
Dalam perkembangan berkaitan, ARMADA Bersatu Johor turut tampil menjelaskan isu video tular berhubung kunjung hormat sayap pemuda itu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 9 Disember lalu. Menurut kenyataan ARMADA Johor, video berkenaan telah dirakam tanpa kebenaran sebelum disunting, dipotong dan dimanipulasi sehingga menimbulkan persepsi salah, termasuk cubaan mengaitkan ARMADA Johor serta Tun Mahathir dengan naratif tidak benar yang seolah-olah bertujuan merosakkan reputasi Tan Sri Muhyiddin Yassin, sedangkan individu yang didakwa dalam video tersebut bukan beliau.
Muhyiddin turut menyatakan kekesalan kerana tuduhan itu dibuat tanpa sebarang usaha mendapatkan penjelasan daripadanya terlebih dahulu, sedangkan dalam beberapa pertemuan sebelum ini, perkara tersebut tidak pernah dibangkitkan oleh Tun Mahathir.
Walaupun berasa difitnah, Muhyiddin menegaskan beliau tetap menghormati Tun Mahathir sebagai seorang negarawan dan orang tua, selain mengakui menyokong usaha bekas Perdana Menteri itu dalam memperjuangkan perpaduan orang Melayu. Justeru, beliau tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Tun Mahathir berhubung dakwaan berkenaan.
