MUAR, 16 JANUARI 2026 — Sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU Negeri Johor mengesahkan beberapa laporan polis telah dibuat berhubung satu temu bual yang disiarkan di beberapa platform media sosial, yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur perkauman dan menyentuh isu sensitif 3R.
Menurut kenyataan ARMADA BERSATU Johor, laporan polis itu dibuat oleh beberapa bahagian di negeri berkenaan susulan kandungan temu bual melibatkan seorang wartawan tempatan bersama panel jemputan luar negara. Temu bual tersebut didakwa mengandungi kenyataan yang menyamakan kaum Melayu di Malaysia dengan rejim Zionis serta melabel masyarakat Melayu Muslim sebagai bersikap xenofobik dan anti-imigran.
ARMADA Johor menyatakan bahawa laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, memandangkan kenyataan tersebut berpotensi mencetuskan kebencian antara kaum serta menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Selain itu, ARMADA Johor menegaskan bahawa penyiaran kandungan berkenaan secara terbuka kepada khalayak tempatan dan antarabangsa boleh memberi kesan negatif terhadap perpaduan nasional serta imej Malaysia di peringkat global.
ARMADA Johor turut menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus, profesional dan adil tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Naib Ketua ARMADA BERSATU Negeri Johor merangkap Ketua ARMADA Bahagian Muar, Muhammad Harith bin Lokman, yang menegaskan komitmen ARMADA Johor untuk mempertahankan keharmonian kaum, kebebasan bersuara yang bertanggungjawab serta kedaulatan undang-undang.
