[KOLUMNIS] KONVENSYEN BERSATU SELANGOR – “JANGAN ROSAKKAN MOMENTUM BERSATU”

Oleh: Haji Daud Ibrahim, 29 April 2026

USAI Konvensyen BERSATU Negeri Selangor yang diadakan di IDCC, Shah Alam Ahad 26 April 2026 yang lalu, para perwakilan pastinya membawa balik dua perkara besar, yang sebelum ini tidak pernah mereka temui.

Pertama, input berguna untuk persiapan menghadapi PRU-16 dari segi jati diri seorang ahli parti, hujah dan permasalahan ekonomi selain pesanan kepimpinan supaya setiap perwakilan bawa bekal untuk diterjemahkan di lapangan.

Konvensyen yang berjalan selama lapan jam, bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 5.00 petang itu mengajar erti disiplin dan ketaatan dalam perjuangan. Perwakilan datang secara sukarela, dari jauh dan dekat dengan iltizam mahu merubah minda dan jiwa perjuangan yang sebelum ini sedikit terganggu. 

Rugilah jika ada yang tidak dapat menambah apa-apa pengetahuan dan pengalaman sebaik sahaja selesai berkonvensyen. Pesanan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Selangor, setiap peserta mestilah mencatat apa yang mereka dengar dan lihat, pembentangan yang dilakukan cerdik-pandai dalam bidang masing-masing, khusunya soal perpaduan dan masyarakat majmuk di Selangor ini. 

Selangor adalah ‘Mini Malaysia’ yang didiami oleh seluruh rakyat negara ini, selain kebanjiran warga asing yang meriah. Perbezaan pendekatan antara masyarakat bandar dan luar bandar, antara Petaling Jaya dengan Sabak Bernam juga menarik untuk diteliti secara lebih mendalam. Perbezaan kos kehidupan di Shah Alam berbanding Hulu Langat dan antara Subang Jaya dengan Hulu Selangor juga perlu diketahui, untuk dijadikan asas menyusun gerak kerja selain peluang perniagaan. 

Tawaran kerja kepada mahasiswa menjadi fokus konvensyen kerana di Selangor, jumlah tiada kerja selepas habis belajar agak tinggi. Selain itu, perserta konvensyen juga didedahkan dengan isu yang menjadi kemurkaan DYMM Sultan Selangor, iaitu kelewatan penyelesaian masalah banjir dan peranan Selangor sebagai tuan rumah SUKMA tidak lama lagi. 

Sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, penjelasan dan penerangan yang diberikan Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali cukup baik. Fokus BERSATU melalui Perikatan Nasional menjadi ‘goverment in waiting’ lebih terarah. Tidak ada sebab lagi pengundi di Selangor untuk mengundi PH yang ternyata gagal menjadi pemerintah yang baik, setelah diberi peluang sejak 2008 lagi. 

BERSATU juga berbangga dengan penghargaan yang diberikan oleh DYMM Sultan Selangor kepada pembangkang di Dewan Negeri yang berperanan ‘check and balance’. Walau apapun ilmu yang dikutip sepanjang konvensyen berlangsung, perkara utama yang perlu ada dalam diri setiap ahli Bersatu ialah disiplin dan berintegriti. 

Rakyat sedang menilai dan memerhati. Jangan sia-siakan kesempatan yang ada kerana keyakinan rakyat akan kembali pudar jika ahli parti gagal memikul harapan rakyat yang penuh pengharapan. Tulisan saya dalam Edisi Suara Kebangsaan bertajuk Parti kita, jiwa kita’ (muka surat 11) antara lain menulis; ‘Apa yang mesti kita faham, apabila memilih untuk berjuang dalam satu-satu parti, jiwa kita hendaklah kita tumpukan kepada hala tuju perjuangan parti itu’. 

Di luar sana, ramai yang mencemburui Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU kerana kewujudan BERSATU telah memberi kesan baik kepada pentadbiran negara, selepas kerajaan kleptokrasi ditumbangkan. Kini, BERSATU berdepan dengan kerajaan kakistokrasi yang menyebabkan keadaan politik tidak stabil. 

Tugas ini tidak sukar jika kita bersatu, saling bahu-membahu dan letak kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi. Sejarah telah membuktikan, mereka yang tidak ikhlas berjuang, akan tersingkir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *