SHAH ALAM, 30 April — Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU Negeri Selangor mengecam tindakan Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San, susulan penggantungan tiga Ahli Dewan Negeri (ADN) daripada Perikatan Nasional PN.
Dalam satu kenyataan semalam, Ketua ARMADA BERSATU Selangor, Afiq Nardin, menyifatkan tindakan terhadap Muhammad Hilman Idham, Afif Bahardin dan Rafiq Abdullah sebagai tidak beretika serta mencerminkan kegagalan Speaker menjalankan tanggungjawab secara profesional.
Menurut beliau, dalam sistem demokrasi berparlimen, seseorang Speaker perlu memelihara prinsip berkecuali, beradab dan berdisiplin sepanjang persidangan berlangsung.
“Namun apa yang berlaku baru-baru ini jelas memperlihatkan sikap tidak adil apabila ADUN Taman Medan dan Kuang digantung, manakala tindakan terhadap ADUN Sri Kembangan tidak dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya.
ARMADA turut mendakwa Speaker bertindak menghalang beberapa ADUN daripada mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soalan lisan, termasuk ADUN Gombak Setia yang kemudiannya turut digantung selama dua hari.
Tambah kenyataan itu, perkembangan berkenaan menggambarkan suasana demokrasi yang tidak sihat di Selangor serta berpotensi menjejaskan fungsi pembangkang yang diiktiraf Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai mekanisme semak imbang yang penting dalam pentadbiran negeri.
Sehubungan itu, ARMADA Bersatu Selangor memaklumkan pihaknya akan melancarkan kempen ‘Demokrasi Mati’ secara digital selain mengadakan siri jelajah ke beberapa kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Selangor.
Kempen tersebut turut akan disertai dengan penganjuran wacana melibatkan tokoh akademik dan intelektual bagi membincangkan isu-isu semasa yang memberi kesan kepada rakyat negeri itu.
