SEBERANG JAYA, 21 Mei 2025 – Ketua ARMADA BERSATU Negeri Pulau Pinang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, YB Izhar Shah, menuntut keadilan buat pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, dalam perbahasan ucapan Tuan Yang Terutama Tun Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
Dalam ucapannya, YB Izhar Shah menyuarakan rasa kecewa terhadap klasifikasi “No Further Action” (NFA) yang dikenakan ke atas kes serangan asid terhadap Faisal Halim. Beliau menyifatkan keputusan tersebut sebagai tamparan kepada kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
“Faisal Halim bukan sekadar pemain bola sepak – beliau adalah simbol aspirasi anak muda dan lambang semangat rakyat marhaen. Tetapi hari ini, aspirasi itu dicurah asid, bukan sekali, tetapi dua kali – pertama oleh penyerang yang kejam, dan kedua oleh sistem,” katanya di hadapan dewan.
Beliau turut memuji usaha awal yang dilakukan oleh ADUN Padang Lalang dan wakil-wakil pemuda dalam menyuarakan solidariti, namun menegaskan bahawa satu pendirian rasmi dan tegas daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini amat diperlukan.
YB Izhar Shah menyeru semua Ahli Dewan, khususnya dari pihak kerajaan negeri, untuk menyatakan pendirian terbuka terhadap keputusan NFA dalam kes tersebut serta mendesak agar siasatan diaktifkan semula sehingga pelaku dibawa ke muka pengadilan.
“Kita tidak mahu anak-anak muda negeri ini berkata, ‘jangan percaya kepada sistem kerana sistem tidak akan lindungi kamu’,” katanya sambil menyeru agar maruah dan kepercayaan rakyat, khususnya generasi muda, dipertahankan.
Kes Faisal Halim sebelum ini mencetuskan kejutan dalam kalangan rakyat apabila beliau diserang dengan asid oleh individu tidak dikenali. Keputusan pihak berkuasa untuk mengklasifikasikan kes tersebut sebagai NFA menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial serta kalangan masyarakat umum.