KUALA LUMPUR, 20 Mei 2025 – Pengarah Jabatan Komunikasi & Media Baharu, EXCO ARMADA BERSATU Malaysia, Na’im Brundage hari ini memberi respon balas terhadap tindakan Unit Komunikasi Strategik Kerajaan Negeri Pahang susulan kenyataan media rasmi kerajaan negeri yang mengarahkan beliau memadam dua video berkaitan isu pekebun durian haram di Raub.
Menurut Na’im, kenyataan media bertarikh 18 Mei 2025 itu turut mengandungi amaran agar beliau memohon maaf secara terbuka, atau berdepan dengan tindakan lanjut daripada pihak kerajaan negeri. Tindakan itu, katanya, dibuat tanpa sebarang usaha untuk menghubunginya secara peribadi terlebih dahulu.
“Saya amat kesal bahawa Kerajaan Negeri telah memilih untuk mengeluarkan tuntutan secara terbuka terhadap saya melalui sidang media ini… lebih mengecewakan, tuduhan tersebut disebarkan melalui pelbagai saluran media rasmi kerajaan negeri,” ujar Na’im dalam kenyataan balas yang dikeluarkan hari ini.
Na’im turut mempertahankan kenyataan asalnya yang menyebut bahawa tiada tindakan menyeluruh telah diambil terhadap penceroboh durian haram di Raub, meskipun isu tersebut telah berlarutan sejak lebih empat dekad. Malah, katanya, Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang sendiri pernah menyuarakan kemurkaan terhadap isu tersebut – menunjukkan masalah itu masih belum diselesaikan secara tuntas oleh kerajaan negeri, sebaliknya beliau yang menyuarakan isu ini pula yang diberi amaran.
“Tindakan Kerajaan Negeri yang cuba menyekat perbincangan terbuka mengenai isu ini adalah bercanggah dengan prinsip kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Saya tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan atau intimidasi seperti ini, dan akan terus bersuara sehingga tindakan tegas diambil terhadap semua penceroboh durian haram di bumi Pahang.” tegasnya.
