MELAKA, 4 Jun 2025 – Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Melaka, Tan Sri Prof. Dr. Abdul Rahim Thamby Chik, membuat satu kenyataan mengejutkan di media sosial hari ini apabila beliau secara terbuka menasihati Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya meletakkan jawatan.
Dalam satu hantaran yang disifatkan sebagai “nasihat ikhlas kepada sahabat seperjuangan,” Rahim menyifatkan kepimpinan Anwar sebagai penuh kepura-puraan, pengkhianatan dan penipuan sejak era 1990-an ketika bersama dalam Team Wawasan UMNO.
“Mungkin saudara masih ingat selepas Tun Ghaffar dikalahkan atas arahan saudara serta berjaya merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO, anda terus ‘scandalised’ saya sehingga saya menawarkan diri untuk berehat daripada jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Ketua Menteri Melaka,” katanya.
Rahim turut mendakwa bahawa Anwar secara licik memaksa beliau meletakkan jawatan dengan memperdaya menggunakan nama Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Bukankah anda yang berbohong kepada saya dengan mengatakan Tun Mahathir menelefon anda dari luar negara dan mengarah saya meletakkan jawatan serta-merta? Saya masih ingat bagaimana anda tiba-tiba mengambil sekeping kertas dan memaksa saya menulis surat perletakan jawatan di depan anda,” dakwanya.
Tambah beliau, apabila Tun Mahathir pulang ke tanah air, bekas Perdana Menteri itu dikatakan terkejut dan memaklumkan tidak pernah memberi arahan sedemikian.
Rahim menyifatkan episod tersebut sebagai titik mula keretakan hubungan Anwar dan Mahathir, dan pada masa sama, mencerminkan gaya politik Anwar yang beliau anggap bersifat oportunistik dan manipulatif.
“Lepas jambatan, tongkat dibuang,” sindir beliau.
Dalam nada sinis, Rahim menyatakan bahawa walaupun Anwar akhirnya berjaya menjadi Perdana Menteri selepas lebih 25 tahun berjuang, reputasinya telah tercemar oleh pelbagai skandal dan perbicaraan mahkamah yang menurutnya akan terus direkodkan dalam sejarah negara.
“Bagi rakyat jelata, mereka melihat anda semacam pelakon yang sudah tidak laku tetapi masih terhegeh-hegeh mahu berlakon dengan muka tak tahu malu, tanpa digniti, tanpa integriti!” katanya sebelum mengakhiri kenyataan itu dengan peribahasa lama: “Biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan, biarkan…”
Setakat ini, tiada maklum balas rasmi daripada Pejabat Perdana Menteri atau Anwar Ibrahim berhubung dakwaan dan kritikan tersebut.