“KOTA MADANI” SIMBOL PENJENAMAAN NARSISISTIK; HENTIKAN PENGGUNAAN SLOGAN PENTADBIRAN KE ATAS INISIATIF KERAJAAN – WAN SAIFUL WAN JAN

TASEK GELUGOR, 5 Jun 2025 – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, YB Datuk Wan Saiful Wan Jan, menggesa kerajaan menghentikan penggunaan slogan pentadbiran sebagai jenama rasmi bagi projek-projek kerajaan, susulan pelancaran inisiatif perumahan terbaru yang dinamakan Kota MADANI oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan tegas bertajuk “Hentikan Penjenamaan Narsisistik”, Wan Saiful menyifatkan penggunaan nama MADANI – yang sinonim dengan slogan utama pentadbiran Anwar – sebagai simbol budaya narsisistik yang membazirkan wang rakyat dan menjejaskan konsistensi dasar kerajaan.

“Kerajaan perlu mencari nama lain bagi projek Kota Madani di Putrajaya. Sudah tiba masanya amalan menamakan inisiatif dengan slogan pentadbiran dihentikan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, turut mempersoalkan kos kewangan yang perlu ditanggung rakyat setiap kali berlaku perubahan slogan apabila kerajaan bertukar.

“Berapa banyak wang rakyat terpaksa dibazirkan apabila slogan kerajaan berubah dan pelabelan itu juga diubah? Wang kerajaan bukan milik individu pemimpin. Ia milik rakyat, termasuklah yang tidak menyokong pemimpin itu,” tambah beliau.

Wan Saiful menyeru agar kerajaan memilih penjenamaan yang lebih berkekalan dan tidak tertakluk kepada perubahan pentadbiran. “Adalah lebih baik nama yang tidak berubah walaupun pentadbiran bertukar digunakan untuk projek-projek kerajaan.”

Mengulas kemungkinan kerajaan akan mempertahankan tindakan mereka dengan alasan ia juga diamalkan oleh pentadbiran terdahulu, beliau menegaskan: “Saya tahu kerajaan akan guna skrip biasa mereka iaitu ‘perkara tu kerajaan dulu pun dah buat’. Tapi apa guna jadi pemimpin jika perkara salah amalan terdahulu mahu diteruskan?”

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan konsep Kota MADANI menerangkan pembinaan fasa pertama melibatkan pembinaan kira-kira 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah menegak, yang dijangka siap menjelang akhir 2027. Reka bentuk bangunan utama turut akan menampilkan unsur budaya tempatan, sebagai sebahagian daripada usaha mengekalkan identiti seni bina dan warisan negara.

Menurut beliau, antara kemudahan yang dirancang termasuk sekolah menegak, institusi TVET, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis, masjid serta institusi kewangan, yang kesemuanya akan dibangunkan berdekatan kawasan perumahan.

Walaupun perincian pelaksanaan mendapat pujian daripada segelintir pihak, namun kritikan kuat terhadap penjenamaan terus mencerminkan kesedaran rakyat khususnya penjawat awam dalam hal ini.