KUALA LUMPUR, 5 Jun 2025 – Sayap wanita muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Srikandi Muda BERSATU pula menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya berehat sementara daripada menjalankan tugas rasmi susulan siasatan yang sedang berlangsung terhadap beliau.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Ketua Srikandi Muda BERSATU, Nurul Ezzati binti Azmi, beliau menyatakan bahawa situasi semasa yang membayangi kepimpinan negara menuntut satu langkah berani demi menjaga maruah pentadbiran dan keyakinan rakyat terhadap institusi Perdana Menteri.
“Kami menyarankan – dengan penuh keinsafan dan rasa tanggungjawab terhadap masa depan negara – agar YAB Perdana Menteri berehat sementara daripada menjalankan tugas rasmi. Ini bukan satu hukuman, bukan satu pengakuan bersalah, tetapi satu bentuk keinsafan dan penghormatan kepada keluhuran undang-undang,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Menurutnya, prinsip akauntabiliti, ketelusan dan integriti bukan sekadar slogan politik, sebaliknya adalah asas kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi. Beliau turut mempersoalkan kewajaran seorang pemimpin tertinggi terus kekal dalam jawatan ketika siasatan sedang dijalankan.
“Apakah kita mahu terus mencipta preseden di mana kuasa politik digunakan sebagai perisai peribadi daripada semakan undang-undang? Atau kita memilih untuk menunjukkan kematangan dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi ego dan kedudukan?” soal Nurul Ezzati.
Terdahulu, 23 Mei lalu, Anwar Ibrahim memohon Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan, antaranya sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther yang mendakwa beliau menyerangnya secara seksual.
Semalam, Anwar Ibrahim gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan antaranya, sama ada Perdana Menteri itu mempunyai imuniti daripada sebarang kes saman sivil. Hakim, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati permohonan berkenaan tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA).
