KUALA LUMPUR, 18 Jun — ARMADA BERSATU Malaysia menegaskan pendirian untuk menolak dasar ekonomi Kerajaan Madani yang didakwa terus menekan rakyat, selain mengumumkan penyertaan rasmi dalam himpunan “Turun Anwar” yang dijadualkan pada 26 Julai 2025 di Kuala Lumpur. Keputusan ini dibuat dalam Mesyuarat ARMADA BERSATU Malaysia Bil. 3/2025 yang dipengerusikan oleh Ketua ARMADA BERSATU, YB Muhammad Hilman Idham, baru-baru ini.
Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid, dalam satu kenyataan media berkata, mesyuarat tersebut turut memfokuskan usaha memperkukuh struktur organisasi serta meningkatkan kesiapsiagaan kepimpinan anak muda melalui Markas Latihan ARMADA yang dibuat secara konsisten setiap bulan. Langkah ini dilihat penting dalam memperkasa ARMADA sebagai barisan pelapis BERSATU yang mampu menjadi suara utama rakyat Malaysia.
Bermula Julai 2025, ARMADA BERSATU akan menggerakkan siri jelajah dan program libat urus terus bersama rakyat di pelbagai kawasan tumpuan khususnya anak muda. Pendekatan turun padang ini bertujuan untuk mendengar denyut nadi masyarakat, memperkukuh hubungan akar umbi, dan memastikan suara anak muda diangkat ke pentas nasional dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, ARMADA BERSATU turut membangkitkan beberapa isu semasa yang didakwa semakin membebankan rakyat, antaranya peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menekan kos barangan harian, kenaikan tarif elektrik serta pelaksanaan subsidi bersasar bagi Petrol RON95 yang mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan golongan B40 dan M40. ARMADA BERSATU menegaskan bahawa dasar ekonomi yang menekan rakyat tanpa ketelusan wajar ditolak sepenuhnya.
“ARMADA BERSATU sepakat menggerakkan ahli-ahli di seluruh negara untuk menyertai himpunan ‘Turun Anwar’ sebagai simbol penolakan terhadap kegagalan Kerajaan Madani dalam menangani isu kos sara hidup. Sudah tibanya masa anak muda bangkit menyatakan pendirian secara kolektif bahawa rakyat tidak boleh terus dibohongi dengan retorik dan pencitraan,” katanya. ARMADA BERSATU Malaysia, tambah Harris, akan terus berdiri di barisan hadapan memperjuangkan kepentingan rakyat dan menjadi suara pembela anak muda di seluruh negara.