UTAMAKAN URUSAN PARTI BERBANDING EKONOMI, ARMADA BERSATU GESA RAFIZI LETAK JAWATAN MENTERI

KUALA LUMPUR, 7 Mei 2025 – ARMADA BERSATU Malaysia hari ini mengecam tindakan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, yang bercuti daripada tugas rasmi untuk menguruskan audit pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), serta menyifatkannya sebagai bukti keutamaan Rafizi terhadap parti dan mengabaikan tanggungjawab kepada negara sebagai seorang Ahli Kabinet.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid, menyatakan kekecewaan terhadap keputusan Rafizi yang dianggap mengabaikan amanah sebagai menteri ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi serius, termasuk perang perdagangan global, tarif balas Amerika Syarikat, kenaikan harga barang, dan ketidaktentuan pelaksanaan subsidi bersasar.

“Rafizi memilih untuk menyelesaikan perebutan kuasa dalaman KEADILAN, bukan menguruskan krisis ekonomi yang menekan rakyat,” tegas Harris.

Tambah beliau, Rafizi sendiri mengakui kempen kerajaan kini lemah dan defensif, namun mengambil cuti untuk kembali agresif di gelanggang politik parti, bukan memperkukuh dasar ekonomi negara. ARMADA BERSATU menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan menyeru agar Rafizi berundur sepenuhnya jika jawatan menteri dianggap penghalang kepada kerja politiknya.

“Negara perlukan pemimpin yang setia kepada rakyat, bukan hanya kepada partinya,” katanya lagi.

ARMADA BERSATU turut kesal apabila Rafizi dilaporkan tidak menghadiri Persidangan Khas Parlimen yang berkait rapat dengan bidang kuasanya sebagai Menteri Ekonomi, demi memberi tumpuan kepada urusan pemilihan parti. Ini, menurut mereka, mengesahkan kebimbangan bahawa Rafizi lebih mengutamakan kepentingan politik KEADILAN berbanding amanah terhadap rakyat dan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *