KUALA LUMPUR, 8 Mei 2025 — Seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU hari ini menggesa Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli agar meletakkan jawatan sekiranya beliau merasakan tugas sebagai anggota pentadbiran menjadi beban, atau tidak lagi mampu memberi sepenuh tumpuan kepada masalah rakyat.
Gesaan yang dibuat Saudara Halim Nayan susulan kenyataan Rafizi yang mengambil cuti rasmi daripada tugas kementerian bagi memberi tumpuan kepada urusan dalaman partinya. Tindakan itu disifatkan sebagai bukti jelas bahawa kepentingan politik peribadi dan kedudukan dalam parti lebih diutamakan daripada amanah kepada rakyat dan negara.
“Sebagai seorang menteri, keutamaan sepatutnya diberikan kepada usaha memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat yang sedang bergelut dengan tekanan hidup. Malangnya, tindakan beliau seolah-olah menunjukkan keutamaan sebenar beliau adalah perebutan kuasa dalam partinya sendiri,” ujar Ahli MPT itu dalam satu kenyataan.
Halim Nayan turut membidas dakwaan kononnya Rafizi cuba memisahkan urusan pentadbiran daripada politik parti, yang disifatkan sebagai retorik semata-mata apabila menteri sendiri sanggup meninggalkan tanggungjawab rasmi demi agenda dalaman.
“Jika benar tugas sebagai menteri menjadi beban, langkah paling wajar dan bermaruah adalah berundur. Negara memerlukan pemimpin yang benar-benar fokus kepada rakyat, bukan sekadar menjadi tokoh politik yang sibuk dengan strategi dan percaturan kuasa,” tegasnya lagi.
Menurut beliau, sejak dilantik sebagai Menteri Ekonomi, Rafizi gagal membuktikan keberkesanan sebarang formula atau pendekatan yang membawa hasil ketara kepada pembangunan ekonomi atau kebajikan rakyat.
“Rakyat sudah muak dengan slogan, teori dan alasan. Apa yang mereka perlukan sekarang ialah tindakan yang menghasilkan impak sebenar, bukan permainan politik yang berpanjangan.”
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU menegaskan bahawa pemimpin yang gagal menunaikan amanah wajar berundur, dan memberi laluan kepada mereka yang benar-benar bersedia meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
