ARMADA BERSATU MELAKA CABAR PEMUDA UMNO, MULAKAN LANGKAH KELUAR KERAJAAN DI NEGERI

JASIN, 24 Dis — Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU Negeri Melaka mencabar Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Datuk Dr. Akmal Saleh, supaya menterjemahkan kenyataan kerasnya terhadap kerajaan kepada tindakan sebenar dengan memulakan langkah keluar daripada Kerajaan Persekutuan bermula di peringkat Negeri Melaka.

Ketua ARMADA Bersatu Negeri Melaka merangkap Ketua ARMADA Bersatu Jasin, Muhammad Jefry Safry, berkata cabaran itu dikemukakan susulan kenyataan terbuka Dr. Akmal di media sosial yang menggesa UMNO menarik sokongan daripada kerajaan dan menjadi pembangkang yang “bermaruah”.

Menurut Jefry, sekiranya UMNO benar-benar ikhlas dan berani dengan pendirian tersebut, langkah pertama yang wajar diambil adalah menyingkirkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP daripada jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Timbalan EXCO Kerajaan Negeri Melaka.

“Ugutan untuk keluar daripada kerajaan bukan perkara baharu. Ia telah berulang kali dilaungkan sebelum ini, namun sehingga hari ini tiada satu pun tindakan konkrit dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mencadangkan agar semua pemimpin Pakatan Harapan (PH) dikeluarkan daripada sebarang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Melaka sebagai bukti kesungguhan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhadap pendirian politik yang sering dilaungkan.

Jefry menegaskan bahawa kenyataan lantang tanpa tindakan hanya akan dilihat sebagai retorik politik semata-mata, yang tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat.

“Rakyat menilai keberanian dan keikhlasan pemimpin melalui tindakan, bukan slogan, ugutan atau emosi sementara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Pemuda UMNO agar tidak sekadar bermain sentimen, sebaliknya membuktikan ketegasan politik secara berprinsip bermula di Negeri Melaka sebelum terus mendesak perubahan di peringkat pusat.